Jumaat, 2 Ogos 2019

Najib tak puas hati penjelasan isu tempat duduk di istiadat agong

MALAYSIAKINI

   

Najib Razak menyoal Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa mengenai protokol kedudukan kerusi bekas perdana menteri bagi istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong.

Bekas perdana menteri itu turut mendakwa yang Mujahid menuduh beliau sendiri mahu ditempatkan di tempat duduk pembesar.

"Dia tuduh saya sendiri yang nak ditempatkan di tempat duduk pembesar dan lepas itu saya sengaja tak nak bawa pakaian istiadat Orang Besar untuk jadikan alasan tak hadir.

"Macam-macam keluar dari mulut kekanda ini. Cuba tanya dia, jika dia faham istiadat istana atau tidak?

"Tanya dia kalau mengikut protokol susunan kekananan, bekas perdana menteri patut ditempatkan di mana?" soal bekas presiden Umno itu di Facebooknya.

Semalam, Mujahid berkata tempat duduk bekas perdana menteri itu pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Selasa lepas telah ditetapkan dan tidak dialihkan pada saat akhir seperti didakwa.

Mujahid yang merupakan pengerusi Jawatankuasa Khas Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 berkata pihaknya sudah memberikan jawapan rasmi kepada Najib berhubung dakwaan itu.

Najib mendakwa tidak dapat hadir ke istiadat itu setelah menerima panggilan pada 6.30 pagi bahawa tempat duduk beliau yang sepatutnya di tempat ke-10 sebagai bekas perdana menteri mengikut protokol istiadat ditukar pada saat akhir ke tempat duduk Orang Besar Pahang.

Menurut Najib, pakaian istiadat untuk Orang Besar Pahang dan pakaian bekas perdana menteri tidak sama dan beliau tidak sempat untuk mengambil pakaian istiadat Orang Besar Pahang dari Pekan, Pahang.

"Isunya bukan dialih. Isunya (kerusi Najib) sudah ditetapkan. Kemudian Najib sendiri beri alasan dia kena duduk di tempat Orang Besar Pahang. Dia kena tukar baju. Itu masalah dia. Kita sudah maklum lebih awal," kata Mujahid.

Dalam pada itu, Najib yang mempertahankan dakwaannya bahawa kerusi untuknya diubah pada saat akhir secara sinis meminta Mujahid supaya tidak memandai-mandai membuat tuduhan.

"Tak payahlah nak memandai menuduh. Anda cuma pandai tulis warkah sahaja," kata Najib.


Tiada ulasan: