Jumaat, 2 Ogos 2019

Cadangan ambil alih lebuh raya Gamuda dijangka ditolak

Menurut sumber, Kabinet akan membuat keputusan berhubung 
cadangan pengambilalihan 4 lebuh raya bertol milik Gamuda 
dalam masa terdekat.
 
PETALING JAYA: Seorang pegawai kanan kerajaan memberi tahu bahawa Kementerian Kerja Raya kini berada di peringkat akhir dalam menimbangkan cadangan untuk mengurangkan beban bayaran tol lebuhraya ke atas orang ramai.

Katanya, beliau menjangka Kabinet akan membuat keputusan dalam masa terdekat dan kerajaan berkemungkinan besar tidak akan menyetujui pengambilalihan 4 lebuh raya yang dimiliki oleh Gamuda seperti yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng awal tahun ini.

“Saya difahamkan bahawa terdapat satu cadangan yang akan menyaksikan penurunan kadar tol sebanyak 36% di seluruh negara yang akan memberi manfaat kepada semua rakyat, bukan sahaja di Lembah Klang,” katanya, yang enggan dikenali, kepada FMT.

“Syor Kementerian Kerja Raya akan diketahui tidak lama lagi.”

Beliau berkata, idea untuk mengambil alih lebuh raya Gamuda hanyalah salah satu daripada banyak cadangan yang diterima daripada beberapa pihak.

Katanya, beliau tidak bersetuju dengan pengambilalihan itu kerana orang ramai akan melihatnya sebagai langkah untuk menyelamatkan Gamuda yang hanya memberi manfaat kepada pengguna 4 lebuh raya di Lembah Klang itu.

Berhubung janji pilihan raya Pakatan Harapan (PH) untuk menghapuskan semua tol, berliau berkata, kerajaan tidak akan dapat menunaikannya.

“Tidak munasabah kerajaan mahu menukar aset menjadi liabiliti,” katanya. “Pihak mana yang akan menyelenggara lebuhraya bertol itu? Kosnya sangat tinggi.”

Beliau berkata, langkah paling baik yang boleh diambil oleh kerajaan ialah menstruktur semula perjanjian terbabit.

Semalam Dr Mahathir Mohamad memberitahu satu sidang media bahawa Kabinet tidak menolak cadangan Kementerian Kewangan untuk mengambil alih lebuh raya Gamuda, tetapi beliau juga berkata kerajaan tidak mempunyai sumber kewangan untuk melakukannya.

“Kementerian berkata ia boleh mengumpul cukup dana untuk membayar harga pengambilalihan dengan mengenakan caj masa puncak,” kata perdana menteri itu.

“Kita perlu lihat sama ia cukup atau tidak.”

Tiada ulasan: