Jumaat, 2 Ogos 2019

Ikut protokol bekas PM patut duduk di mana, Najib tanya Mujahid

Najib Razak.

PETALING JAYA: Najib Razak meminta Mujahid Yusof Rawa menjawab di mana sepatutnya tempat duduk seorang bekas perdana menteri dalam istiadat istana mengikut protokol susunan kekananan,
selepas menteri itu berkata tempat duduknya di pertabalan Agong pada Selasa tidak dialihkan pada saat akhir.

Najib berkata menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menuduh dia sendiri yang mahu ditempatkan di barisan pembesar, dan sengaja tidak membawa pakaian istiadat Orang Besar untuk jadi alasan tidak hadir.

“Macam-macam keluar dari mulut kekanda. Cuba tanya jika dia faham istiadat Istana atau tidak,” katanya di Facebook hari ini.

“Anda cuma pandai tulis warkah sahaja.”

Terdahulu, Mujahid yang juga pengerusi jawatankuasa khas istiadat pertabalan Agong ke-16 memberitahu media tempat duduk Najib di istiadat itu sebenarnya sudah ditetapkan, menjawab laporan bekas perdana menteri itu tidak hadir selepas perubahan tempat duduk.

“Najib sendiri beri alasan dia kena duduk di tempat Orang Besar Pahang. Dia kena tukar baju. Itu masalah dia. Kita sudah maklum lebih awal,” katanya.

Semalam, Najib berkata dia tidak menghadiri istiadat pertabalan Agong kerana perubahan tempat duduk pada saat akhir menyebabkan dia tidak dapat menyediakan pakaian istiadat yang bersesuaian.

Katanya, beliau pada asalnya diberi tempat duduk di tempat ke-10, yang dikhaskan untuk bekas perdana menteri, mengikut protokol majlis.

Menurut Najib, dia dimaklumkan tentang perubahan tempat duduk itu pada 6.30 pagi yang sama.

“Pakaian istiadat untuk Orang Besar Pahang dan pakaian bekas PM tak sama. Setiap jawatan ada protokolnya,” katanya.

“Masa itu dah tak sempat nak ambil pakaian dari Pekan,” katanya.

Pejabat Perdana Menteri berkata ia tidak terlibat dalam susunan tempat duduk untuk Najib dan protokol bawah pegawai istana.

Tiada ulasan: