ULASAN | Malaysia telah
menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang pesat pasca-kemerdekaan,
terutamanya selepas pengenalan perindustrian berat oleh Tun Dr Mahathir
Mohamad pada tahun 1980-an dan 1990-an.
Negara ini, yang pada asalnya bertunjangkan pertanian dan perikanan,
pada hari ini diterajui bidang perkhidmatan yang menyumbang lebih kurang
55 peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.
Dalam tempoh beberapa dekad yang lalu, sumbangan sektor pertanian
Malaysia semakin berkurangan akibat perkembangan industri tempatan dan
juga bidang perkhidmatan.
Pada tahun 1970, hampir 30 peratus daripada KDNK telah disumbangkan
oleh bidang pertanian. Namun, peratusan ini telah jatuh mendadak kepada
8.2 peratus pada tahun 2017.
Dominasi penanaman komoditi dalam bidang pertanian tempatan
disebabkan nilai komersialnya yang lebih tinggi, telah mengakibatkan
hasil tanian sumber makanan seperti padi, sayur-sayuran dan buah-buahan
terus lemah dari aspek saiz keluaran tanian dan sumbangan kepada
ekonomi.
Saya memandang serius terhadap isu ini dan saya ingin menyeru
kerajaan Pakatan Harapan untuk memberi nafas baru untuk sektor pertanian
tempatan, khususnya hasil tanian sumber makanan.
Pertanian pintar
Untuk mencapai hasrat ini, sektor pertanian Malaysia memerlukan
perubahan struktur pada skala besar-besaran yang dipacu menerusi
Revolusi Pertanian Pintar atau
smart farming untuk menyuburkan kembali bidang ini.
Revolusi Pertanian Pintar merujuk kepada penggunaan dan
pengintegrasian teknologi terkini dengan lebih meluas dalam bidang
pertanian, dengan tujuan meningkatkan kuantiti dan kualiti hasil tuaian
tanaman domestik.
Misalnya,
drone boleh digunakan untuk menyembur racun
serangga, menganalisis tanah penanaman dan memantau hasil tanaman dengan
cepat dan tanpa menggunakan tenaga kerja yang ramai.
Selain itu, alat pengesan atau
sensor yang berasaskan
Internet of Things (IoT) juga boleh digunakan untuk menghantar data atau maklumat berkaitan tanaman secara serta-merta (
real-time) untuk tindakan lanjutan oleh para petani.
Sektor pertanian Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada
teknologi yang sudah lapuk dan harus bergerak ke arah penggunaan
teknologi terkini aras tinggi. Ini termasuk teknologi “
Big Data” yang boleh diaplikasikan untuk merombak rantaian bekalan atau
supply chain pertanian tempatan.
Negara-negara lain telah melancarkan pelbagai inisiatif untuk
mengintegrasikan teknologi pertanian pintar dalam sektor pertanian
mereka.
Misalnya, pada tahun 2017, Australia telah menyediakan geran
berjumlah AU$60 juta untuk mengukuhkan pertanian pintar. Manakala, China
juga telah memberi fokus terhadap pengaplikasian IoT dalam bidang
pertanian menerusi Pelan Lima Tahun yang ke-13.
Rancangan ini telah dimulakan di lapan wilayah China melalui pengenalan 426 aplikasi, teknologi dan produk.
Kos permulaan tinggi
Antara punca utama di sebalik kurangnya penggunaan teknologi dalam
sektor pertanian Malaysia adalah kos permulaan yang tinggi, kekurangan
pengetahuan dalam kalangan pengusaha tani dan keengganan para petani,
khususnya yang telah berumur, untuk mengintegrasikan teknologi terkini
di kawasan tanaman mereka.
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani diharapkan terus mencari
penyelesaian yang komprehensif dan terperinci untuk membantu para
petani yang menghadapi masalah-masalah tersebut.
Berkaitan masalah kos permulaan yang tinggi, saya menggesa pihak
kementerian untuk mewujudkan konsep kluster di kawasan-kawasan pertanian
tertentu, di mana tanah penanaman beberapa petani boleh dikumpulkan
menjadi sebuah kluster dan geran diberi oleh kerajaan untuk
petani-petani berkenaan mengaplikasikan teknologi pertanian pintar
bersama-sama.
Berhubung masalah kekurangan tenaga kerja muda dalam bidang pertanian
yang seterusnya menjadi penghalang kepada pengaplikasian teknologi,
saya mencadangkan agar kerajaan menyediakan geran untuk
perniagaan-perniagaan baru atau
start-up yang berteraskan pertanian.
Start-up ini boleh terlibat dengan mana-mana elemen
pertanian, baik dari segi penanaman mahupun sistem agihan hasil tuaian,
dan harus menggunakan teknologi untuk merombak dan memudakan sektor ini.
Salah satu konsep pertanian moden yang harus dikembangkan di Malaysia adalah
vertical farming, iaitu pertanian di dalam ruang tertutup dan terkawal. Sokongan kerajaan yang kuat dari aspek kewangan mahupun bimbingan atau
guidance akan membantu para petani untuk terlibat dalam Revolusi Pertanian Pintar dengan lebih meluas.
Sektor utama negara
Selain itu, untuk menggalakkan para petani menambah baik teknologi
pertanian mereka, kerajaan juga boleh memperkenalkan sistem baru di mana
subsidi kerajaan untuk petani diberikan berdasarkan kadar
pengaplikasian teknologi pertanian pintar di tanah mereka
(subsidy linked to technology adoption).
Walaubagaimanapun, amat penting untuk para petani diberikan bantuan
dan nasihat yang komprehensif terlebih dahulu mengenai teknik penggunaan
pertanian pintar sebelum sistem yang dicadangkan ini diperkenalkan
secara meluas.
Sudah tiba masanya untuk Malaysia melipat-gandakan usahanya untuk
memperkasakan bidang pertanian tempatan menerusi revolusi teknologi,
khususnya melalui pertanian pintar. Bidang pertanian, terutamanya hasil
tuaian sumber makanan, harus terus berkembang dengan lebih baik selari
dengan pertumbuhan pesat ekonomi negara.
Bagi menyediakan tenaga mahir dan separa mahir bagi tujuan
melestarikan revolusi teknologi, intipati pengajian TVET perlu
ditekankan kepada industri pertanian.
Jika penekanan ini berjaya dilaksanakan, saya percaya peluang
pekerjaan di kalangan orang muda dan generasi akan datang akan lebih
terbuka luas dan kompetitif. Kebergantungan kepada pekerja asing secara
tidak langsung akan berkurangan.
Saya yakin bidang pertanian akan terus menjadi elemen penting bagi
Malaysia dan konsep pertanian pintar akan nescaya mengubah lanskap
pertanian negara dalam jangka masa panjang.
Dasar Agro-Makanan Negara 2011-2020 akan berakhir dalam masa dua
tahun akan datang dan diharapkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas
Tani akan menerapkan konsep pertanian pintar secara terperinci dalam
dasar bidang pertanian baharu supaya pertanian terus berkembang sebagai
sektor ekonomi utama negara.
*Faiz Fadzil merupakan ketua Pemuda AMANAH.