Siapa pun yang menonton video ucapan Najib Razak ketika berkempen di Sungai Kandis yang intipatinya memperlekeh serta menghina Mohamad Sabu selaku Menteri Pertahanan, pasti akan geleng kepala dan mengucap panjang dibuatnya.
Begitukah perilaku dan akhlak seorang bekas Perdana Menteri?
Adakah Najib sebenarnya sedang mengalami gangguan mental sejak kehilangan kuasa dan ditolak rakyat pada PRU14 yang lalu?
Pernahkah Najib menilai dan mencermin siapa dirinya terlebih dahulu sebelum berbuat begitu?
Sesuatu yang Najib harus sedari ialah Mohamad Sabu atau Mat Sabu baru tidak sampai dua bulan menjadi Menteri Pertahanan dan oleh yang demikian, adalah terlalu awal untuk membuat penilaian terhadap dirinya.
Bolehkah Najib mengingat kembali bagaimana kedudukan beliau ketika dua bulan menjadi timbalan menteri dahulu iaitu jawatan awalnya dalam kerajaan?
Siapakah agaknya yang lebih kartun jika dibuat perbandingan antara kedua-duanya?
Masih lupakah Najib bagaimana ucapannya ketika beliau menjadi Ketua Pemuda Umno dahulu yang sering menjadi bahan ketawa ramai?
Lagi pula, sebelum Najib mahu terus memperlekeh dan menghina orang lain dengan gelaran kartun dan sebagainya, lupakah bagaimana sebelum pilihanraya lalu beliau hampir setiap hari berbuat perkara yang sama terhadap Tun Mahathir Mohamad, terutama berkaitan usianya yang sudah mencecah usia 93 tahun?
Tetapi, apa jadi akhirnya?
Bukankah beliau kecundang dan tewas di tangan lelaki tua yang sudah berusia 93 tahun itu?
Dalam hal ini, meskipun Mat Sabu masih baru sebagai menteri, tetapi harus diakui beliau adalah pejuang rakyat yang punyai ramai peminat dan disanjung rakyat.
Jika antara Najib dan Mat Sabu muncul di khalayak ramai ketika ini, sudah pasti Menteri Pertahanan itu akan menjadi tumpuan dan lebih ramai yang ingin bergambar atau berselfie dengannya.
Sedarkah Najib hakikat itu?
Selain itu, sebelum mahu memperlekeh dan menghina orang lain, Najib juga seharusnya sedar bahawa beliau adalah sosok yang paling dibenci rakyat ketika ini sehingga riwayat kuasa Umno berakhir di bawah kepimpinannya.
Dengan dakwaan terkait dalam skandal kewangan 1MDB yang bernilai berbilion ringgit, selain di kediamannya dijumpai wang tunai, barang kemas dan beg tangan mewah yang dianggarkan bernilai lebih satu bilion ringgit, Najib sepatutnya insaf bahawa Mat Sabu jauh lebih mulia berbanding dirinya.
Pernahkah dalam sejarah negara sejak merdeka, kita ada pemimpin sebegitu rupa?
Yang nyata, dengan perilaku dan akhlak yang ditunjukkan Najib terhadap Mat Sabu ini, beliau akan terus membuatkan rakyat tambah benci terhadapnya, jauh sekali untuk bersimpati dengan nasibnya yang bakal berdepan lebih banyak pendakwaan di mahkamah serta mungkin mengakhiri kehidupan di penjara sebagai hukuman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan