Rabu, 1 Ogos 2018

Streram fail petisyen cabar keputusan PRU14 DUN Rantau

THE MALAYSIAN TIMES



SEREMBAN: Anggota PKR yang dicalonkan bagi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, Dr S. Streram telah menfailkan petisyen bagi mencabar kesahihan keputusan yang memberi kemenangan tanpa bertanding kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan.

Bercakap kepada pemberita di sini beliau berkata kes itu akan didengar di Mahkamah Tinggi Seremban pada Rabu depan.

Pada PRU14 lalu Mohamad diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi DUN Rantau berikutan Streram gagal menghantar borang pada masa yang ditetapkan ketika penamaan calon kerana tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan ekoran tidak membawa pas Suruhanjaya Pilihan Raya.

Dalam pada itu Streram yang akan bertanding jawatan timbalan ketua cabang Rembau pada pemilihan parti PKR bulan hadapan berkata beliau bersama-sama pasukannya mampu memberikan khidmat yang terbaik kepada parti dan anggotanya.

“Pasukan kami ada yang berlatarbelakang doktor, peguam, ahli perniagaan dan bekas guru.

“Kami akan menjadi kumpulan pendesak kepada pemimpin berkenaan apa sahaja isu yang membawa kebaikan kepada rakyat,” katanya.

Selain Streram, anggota pasukannya pada pemilihan kali ini ialah Muhammad Zakir ​​​​​Hassan bagi jawatan ketua cabang, Datuk Hanif Hasan (naib cabang), Mohd Effendi Mat Aris (ketua Angkatan Muda Keadilan) dan Nortaksiah Zainal bagi jawatan ketua wanita.—Bernama

Tiada ulasan: