Rabu, 1 Ogos 2018

K’jaan kaji beri peluang kepada syarikat selain Puspakom periksa kenderaan

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji keperluan memberi ruang kepada penyedia perkhidmatan pemeriksaan kenderaan selain Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan berkenaan.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaafar berkata sebarang keputusan mengenai perkara itu akan dimuktamadkan selepas menerima laporan kajian yang dijangka selesai sebelum hujung tahun ini.

“Bagaimanapun, jika perkara ini dilaksanakan, syarikat penyedia perkhidmatan pemeriksaan kenderaan yang baharu perlu mematuhi peraturan dan standard tinggi seperti yang dikenakan ke atas Puspakom selain mengambil kira faktor pasaran kecil dengan kadar fi yang dikawal kerajaan,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Kamaruddin menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) yang ingin tahu sama ada kementerian bersedia mengeluarkan lebih banyak lesen kepada syarikat lain untuk bersaing dengan Puspakom.

Mengulas lanjut, Kamaruddin berkata pasaran pelanggan atau kenderaan yang diwajibkan melalui pemeriksaan berkala amat rendah iaitu dianggarkan hanya lapan peratus daripada jumlah kenderaan empat roda dan ke atas di negara ini.

“Selain pasaran kecil, penyediaan pemeriksaan oleh Puspakom memerlukan pembangunan dan operasi yang tinggi iaitu sejak 1995 hingga Jun 2018, Puspakom mengeluarkan belanja operasi sebanyak RM2 bilion dan RM550 juta dibelanjakan untuk tujuan pembangunan,” katanya.

Bagi tempoh lima tahun sejak 2013 hingga 2017, purata perbelanjaan operasi Puspakom ialah RM9.7 juta sebulan manakala purata kutipan hasil sebanyak RM9.9 juta sebulan, iaitu keuntungan lebih RM200,000 setiap bulan.

Kamaruddin berkata kerajaan turut mengkaji mengenai perjanjian konsesi Puspakom yang akan tamat pada 31 Ogos 2024.—Bernama

Tiada ulasan: