Memaparkan catatan dengan label PRK - SG KANDIS. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PRK - SG KANDIS. Papar semua catatan

Selasa, 7 Ogos 2018

PRK SG KANDIS: TIADA BUKTI AHLI PAS BOIKOT – SALLEHEN




Tiada bukti kukuh yang menunjukkan ahli PAS telah memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Pesuruhjaya PAS negeri, Sallehen Mukhyi berkata, adalah tidak wajar jika ada pihak yang mendakwa penurunan peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis disebabkan protes ahli parti itu.

“Undi yang diperoleh calon PKR pun menurun. Jadi kenapa tidak cakap ahli PKR pun tidak keluar mengundi.

“Janganlah kita membuat andaian semudah ini. Tidak timbul isu ahli PAS tolak calon BN atau sebagainya punca tidak ramai keluar mengundi,” katanya kepada Watan Online pada Isnin.

Beliau mengulas dakwaan pihak tertentu sebahagian besar ahli PAS mengambil sikap berkecuali serta tidak keluar mengundi, walaupun kepemimpinan parti itu mengarahkan mereka memenangkan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam.

Sabtu lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan peratus pengundi keluar pada PRK DUN Sungai Kandis hanya 49.4 peratus, jauh tersasar daripada jangkaan awal iaitu 80 peratus.

Dalam pada itu, Sallehen berharap ahli UMNO dan BN akan memberi sokongan penuh kepada calonnya pada PRK DUN Seri Setia nanti.

“Kerjasama antara UMNO dan PAS yang dimulakan pada PRK DUN Sungai Kandis perlu diteruskan pula di PRK DUN Seri Setia.

“PAS dan UMNO tidak pernah mengumumkan secara rasmi untuk membentuk gabungan apatah lagi tahaluf siyasi. Persefahaman ini atas dasar demi agama Islam.

“Bentuk kerjasama bagi kedua-dua ahli parti ini, namun ia perlu diteruskan. PAS meminta ahli UMNO dan BN memberi undi kepada calon PAS di Seri Setia,” katanya.


Ahad, 5 Ogos 2018

Pengundi Sg Kandis tampar muka Najib, Hadi



Pengundi Sg Kandis tampar muka Najib, Hadi



Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang menyifatkan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis semalam sebagai tamparan di muka buat Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Kata beliau, dalam PRK ini Najib Razak berkerja keras secara luar biasa dengan harapan keajaiban politik berlaku untuk membuatkan dirinya kembali popular dan mendapat sokongan ramai.

“Beliau juga berharap untuk menggunakan PRK Sg Kandis untuk memberitahu semua orang di negara ini, khususnya dalam kalangan pimpinan Umno bahawa beliaulah yang paling berkuasa dalam Umno.

“Tetapi Najib gagal teruk dalam kedua-dua usahanya itu kerana Lokman gagal mendapatkan 11,518 undi yang telah diperolehi calon Umno pada PRU14 lalu, kurang 1,933 undi daripada calon Umno-BN pada pilihan raya umum,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Jelas beliau lagi, dalam PRK Sg Kandis, beberapa orang pimpinan pusat Pas membuat pelbagai bentuk seruan supaya ahli Pas mengundi Lokman, tetaspi Lokman gagal mendapat hatta 30 peratus undi Pas pada PRU14 lalu.

Pada PRU14 lalu, calon Umno mendapat 11,518 undi sementara calon Pas mendapat 7,573 undi, yang keseluruhannya berjumlah 19,091 undi.

Calon Pakatan Harapan (PH)/PKR yang menang di situ mendapat 23,998 undi.

SPR tak puas hati peratus keluar mengundi rendah

 
   

PRK SG KANDIS | Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis hari ini, secara tidak rasmi hanya 49.8 peratus.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Othman Mahmood berkata secara peribadi beliau sendiri tidak berpuas hati dengan peratusan keluar mengundi rendah itu kerana sasaran pihaknya sebelum ini 80 peratus.

“Proses pengundian berjalan lancar cuma saya kurang berpuas hati sebab peratusan keluar mengundi rendah,” katanya sewaktu ditemui media di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Besar Tanjung Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 19 di Shah ALam.

Beliau berkata peratusan keluar mengundi paling rendah dicatat ialah ketika PRK DUN Penanti di Pulau Pinang pada 31 Mei 2009 sebanyak 46 peratus.

Sementara itu, sumber SPR Selangor memberitahu Bernama antara faktor lain peratusan rendah itu disebabkan pengundi tidak balik mengundi atau berada di luar kawasan.

PRK itu menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni, calon Barisan Nasional Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas K. Murthy.

Kekosongan kerusi DUN Sungai Kandis itu berikutan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.- Bernama


Tok Mat akui kekalahan tanda pengundi protes PH

Tok Mat akui kekalahan tanda pengundi protes PH
Datuk Seri Mohamad Hasan
 
 
SHAH ALAM - Keputusan PRK Dun Sungai Kandis menjadi bukti rakyat seolah-olah memprotes kerajaan yang memerintah ketika ini.

Pengarah Jentera Pilihan Raya BN , Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kehilangan begitu banyak peratusan pengundi menunujukkan rakyat kurang berpuas hati dengan apa yang telah diberikan oleh kerajaan.

“Keputusan ini adalah satu tanda protes dan tentunya kepada kerajaan yang memerintah hari ini,” katanya, dipetik portal Umno Online.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menyasarkan peratusan keluar mengundi sebanyak 80 peratus namun secara tidak rasmi hanya 49.8 peratus pengundi yang keluar.

Sementara itu, Mohamad yang juga Timbalan Presiden Umno berpuas hati dengan perjalanan jentera sepanjang PRK tersebut.

“Saya puas hati dengan perjalanan jentera sepanjang PRK ini, kita telah cuba dengan baik dan jentera juga telah bekerja dengan baik,” katanya.

Sungai Kandis kekal menjadi milik PKR selepas calonnya Mohd Zawawi Ahmad Mughni menang dengan majoriti 5,842 undi.

Beliau menewaskan dua lagi pencabarnya Datuk Lokman Noor Adam dari BN yang mendapat 9,585 undi dan calon Bebas, K Murthy hanya menerima 97 undi.

[ARTIKEL BERKAITAN: Sungai Kandis kekal milik PKR]

Sungai Kandis titik penyatuan UMNO, PAS, kata Lokman

Oleh Fahmi bin Faiz

PRK paling bersejarah buat dua parti konservatif Melayu Islam



BANGI – “Kekalahan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Kandis, wajar dilihat dari sudut positif,” kata calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Adam.

Ketika dihubungi IsmaWeb selepas keputusan PRK diumumkan sekitar jam 9.50 malam, Lokman berkata:

“PRK DUN Sungai Kandis ini adalah satu detik yang sangat bersejarah, apabila dua parti konservatif Melayu dan Islam, iaitu UMNO dan PAS, berganding bahu dan bersatu hati dalam usaha mengangkat kedaulatan agama, bangsa dan tanah air.

“Walaupun barisan atasan kedua-dua parti masih tidak berjaya meyakinkan keseluruhan ahli di peringkat akar umbi, namun kita jelas bahawa usaha menyeru pengundi agar memilih kemudaratan yang lebih kecil, berbanding yang lebih besar, memang akan memakan masa.”

Oleh itu, katanya, UMNO dan PAS akan istiqamah memperjuangkan kedaulatan agama dan bangsa yang kini dilihat semakin ditindas.

“Melalui sikap istiqamah ini, dengan izin Allah, kita akan berjaya meyakinkan akar umbi untuk turut serta dalam usaha memperjuangkan Islam dan Melayu,” katanya

Pada PRK hari ini, calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni memperoleh 15,427 undi, manakala Lokman (9,585 undi) dan calon Bebas, K Murthy (97 undi).

Sementara itu, peratusan keluar mengundi bagi PRK itu secara tidak rasmi hanya 49.8 peratus, dipercayai kerana pengundi tiada ‘mood’ untuk keluar mengundi.

Bahang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas yang masih dirasai turut menjadi penyebab terhadap penurunan peratusan itu.


Sabtu, 4 Ogos 2018

PKR menang tapi tak ramai keluar mengundi

 
Zawawi Mughni menang dengan majoriti 5,842 undi menewaskan Lokman Adam dan K Murthy.
 
 
 



SHAH ALAM: Pakatan Harapan berjaya mempertahankan DUN Sungai Kandis dengan majoriti 5,842 undi dan peratusan keluar mengundi jauh lebih rendah.

Calonnya, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dari PKR memenangi kerusi itu dengan 15,423 undi. Calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dari Umno mendapat 9,585 undi, manakala calon Bebas, K Murthy, 97.

Kemenangan ini memastikan PKR mempertahankan kerusi itu 4 kali berturut-turut sejak pilihan raya 2008. Namun begitu, hanya 49.4% pemilih membuang undi sehingga pintu pusat pembuangan undi ditutup pada 5.30 petang tadi.

Pada pilihan raya umum 9 Mei lepas, penyandang lepas, Mat Shuhaimi Shafiei menang dengan majoriti 12,480 undi. Beliau memperoleh 23,998 undi berbanding calon BN (11,518 undi), calon PAS (7,573 undi) dan calon Parti Rakyat Malaysia (76 undi).
Peratus keluar mengundi ketika itu setinggi 85%.

Terdapat 51,230 pengundi berdaftar di Sungai Kandis, di mana 51.2% adalah wanita dan 71.34% berketurunan Melayu.

Umno menyertai pertandingan ini atas platform Melayu dan Islam, tema yang diatur untuk menggembleng ketidakpuasan hati orang Melayu terhadap parti pemerintah dan menarik undi daripada penyokong PAS.


PAS tidak melibatkan diri dalam pertandingan kali ini kerana tidak mahu memecahkan undi pembangkang.

PRK Sungai Kandis diadakan akibat kematian Shuhaimi, 50, pada 2 Julai lalu.

Sungai Kandis kekal milik PKR


Sungai Kandis kekal milik PKR
Mohd Zawawi ketika tiba di Dewan Besar Tanjung, Seksyen 19, Shah Alam bagi mengikuti keputusan PRK Sg Kandis. Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI
 
 
SHAH ALAM - Calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni diumumkan memenangi kerusi Dun Sungai Kandis dengan majoriti 5,842 undi.

Mohd Zawawi memperoleh 15,427 undi menewaskan saingan dari BN, Datuk Lokman Noor Adam yang mendapat 9,585 undi dan calon Bebas, K Murthy hanya menerima 97 undi.

Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Kandis, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad sebentar tadi.

Sementara itu, peratusan keluar mengundi dicatatkan 49.4 peratus.

Tak rasmi: PKR menang di Sg Kandis

MALAYSIAKINI

   

PRK SG KANDIS | Calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni telah mencapai kiraan undi yang mustahil dapat dikejar calon BN Lokman Noor Adam.

Dianggarkan kurang 51 peratus pemilih yang mengundi PRK hari ini.

Jumlah keluar mengundi di bawah 51 peratus, jauh di bawah jangkaan SPR dan Instutut Darul Ehsan (IDE) Selangor.

SPR menyasarkan jumlah keluar mengundi sebanyak 80 peratus, manakala IDE dalam kajiannya berkata 81 peratus pengundi 'tak sabar untuk mengundi'

Kajian IDE berdasarkan tinjauan yang dijalankan pada 11 dan 12 Julai lalu.

Ikuti laporan langsung Malaysiakini pilihan raya kecil Sungai Kandis di sini.


Jumaat, 3 Ogos 2018

PRK Sg Kandis: 51,217 pengundi keluar mengundi esok

 
Sebanyak 21 saluran baru diwujudkan bagi mengelakkan jumlah pengundi terlalu ramai di satu-satu saluran, menjadikan keseluruhannya 109 saluran berbanding 88 saluran pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.


SPR memanjangkan tempoh masa pengundian dari pukul 8 pagi hingga 5.30 petang, berbanding 5 petang sebelum ini. (Gambar Bernama)


SHAH ALAM: Seramai 51,217 pengundi bakal menunaikan tanggungjawab memilih pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, esok.

Sebanyak 19 pusat mengundi dengan 109 saluran dibuka bermula 8 pagi hingga 5.30 petang.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca pada sebelah pagi hujan dengan suhu antara 26 dan 29 darjah celsius, manakala petang diramalkan cerah dengan suhu antara 30 dan 32 darjah celsius.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan beberapa penambahbaikan dalam PRK kali ini termasuk mewujudkan dua saluran untuk pengundi yang berumur 60 tahun ke atas, dan menambah saluran mengundi di pusat-pusat mengundi yang mempunyai jumlah pemilih yang ramai.

Sebanyak 21 saluran baru diwujudkan bagi mengelakkan jumlah pengundi terlalu ramai di satu-satu saluran, menjadikan keseluruhannya 109 saluran berbanding 88 saluran pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

SPR turut menambah satu lagi petak mengundi menjadikan keseluruhan 3 petak di kesemua 109 saluran mengundi, iaitu 3 orang boleh mengundi pada satu-satu masa.

Selain itu, SPR memanjangkan tempoh masa pengundian dari pukul 8 pagi hingga 5.30 petang berbanding 5 petang sebelum ini.

Calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, 48, dijangka mengundi pada 9 pagi di Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun di sini.

Sementara calon BN iaitu Datuk Lokman Noor Adam, 45, dan calon Bebas, K. Murthy, 60, bukan merupakan pengundi berdaftar di kawasan DUN itu.

Kesemua peti undi kemudian akan dibawa ke pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 19, Shah Alam dengan keputusan dijangka diketahui seawal 10 malam.

SPR menyasarkan 80% pemilih keluar mengundi pada PRK DUN Sungai Kandis yang melibatkan peruntukan kira-kira RM1.4 juta.

DUN Sungai Kandis mempunyai 51,230 pengundi berdaftar dengan pengundi biasa seramai 51,217 dan 13 pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.

Daripada 51,230 pemilih berdaftar itu, 24,998 adalah pengundi lelaki (48.8%) dan 26,232 merupakan pengundi wanita (51.2%).

Dari segi komposisi kaum pula, 71.34% pengundi berdaftar di DUN itu terdiri daripada kaum Melayu, 15.69% kaum India dan 11.75% kaum Cina.

PRK DUN Sungai Kandis merupakan PRK pertama diadakan selepas ilihan raya umum ke-14 berikutan kematian penyandang kerusi tersebut, Mat Shuhaimi Shafiei pada 2 Julai lepas akibat kanser limfoma.

Pada pilhan raya umum 9 Mei, Shuhaimi yang mewakili PKR mempertahankan kerusi DUN Sungai Kandis (dahulu Sri Muda) bagi penggal ketiga berturut-turut dengan majoriti 12,480 undi dalam pertandingan empat penjuru menentang calon BN, PAS dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Khamis, 2 Ogos 2018

Calon PKR selar kempen kotor BN cuba cemar peribadi

THE MALAYSIAN TIMES
 


SHAH ALAM: Calon PKR bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni menyelar tindakan pembangkang yang cuba mengaitkan dirinya dengan rakaman video seorang lelaki menari di khalayak ramai.

Mohd Zawawi berkata, penyebaran video itu merupakan tindakan terdesak bertujuan menjejaskan keperibadiannya yang jelas lebih diterima masyarakat dan pengundi Sungai Kandis berbanding calon BN, Datuk Lokman Noor Adam.

“Dalam video itu jelas bukan saya yang menari, jadi mengapa kaitkan ia dengan saya, saya harap pengundi di kawasan ini tidak terpengaruh dengan cara kempen seperti ini dan bersama-sama mengamalkan politik matang,” katanya dalam sidang akhbar hariannya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan Lokman Noor sebelum ini yang mendakwa video tersebut adalah berkaitan perilaku seseorang menyerupai Mohd Zawawi sedang menari, yang rakaman itu dipercayai diambil sewaktu PRK Ijok pada 2007.

Sementara itu, Mohd Zawawi berkata beliau akan memperjuangkan isu perumahan di kawasan berkenaan sekiranya mendapat mandat sebagai wakil rakyat bagi kawasan berkenaan pada Sabtu ini.

Katanya beliau akan mencadangkan kepada kerajaan negeri dan syarikat pemaju milik kerajaan negeri untuk membina lebih banyak rumah mampu milik di Sungai Kandis.

“Warga Sungai Kandis mestilah diberi keutamaan untuk membeli rumah di projek perumahan mampu milik ini dan harganya mestilah di bawah RM350,000.

“Saya juga akan merayu dan menyeru Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk membina rumah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA) di kawasan ini. Saya sudah mengenal pasti satu kawasan lapang di Johan Setia di sini yang dimiliki oleh kerajaan negeri yang dirasakan sesuai untuk dibina rumah mampu milik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya ura-ura beliau akan menggantikan Anggota Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin yang kini sedang dalam cuti sakit sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Zawawi menyerahkannya kepada pucuk pimpinan.

“Fokus utama saya sekarang adalah untuk menang di PRK DUN Sungai Kandis pada Sabtu ini,” katanya.– Bernama

Jangan pangkah dacing atau keluar Pas, pangkah calon PKR, kata Mat Sabu



Jangan pangkah dacing atau keluar Pas, pangkah calon PKR, kata Mat Sabu



Presiden AMANAH Mohamad Sabu berkata, mana-mana ahli Pas yang tidak rela ‘dipaksa’ memilih calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) SUngai Kandis agar tidak keluar parti sebaliknya memilih calon PKR Mohd Zawawi Mohd Munghni.

“Saya dalam Pas selama 38 tahun. Kita boleh terima sesiapapun. Tapi nak suruh pangkah dacing ni payah.

“Saya lihat di seluruh negara ribuan ahli Pas mengatakan kalau suruh pangkah dacing kami nak keluar daripada Pas.

“Kalau yang sebelah sini (Sungai Kandis) tak keluar pun takpa. Tapi tolong undi Ustaz Zawawi.

“Ustaz Zawawi macam kita lah… berlatar belakang pengajian agama. Saya dengar dia berceramah sikit-sikit sebut iman Ghazali, Yusuf Ghadawi dan hadis Nabi.

“Maka eloklah kita dalam PH perlu ustaz Zawawi dalam Dewan Undangan Negeri Selangor,” ujarnya dalam ceramahnya di Dun Sungai Kandis malam tadi.

Beliau dipercayai merujuk kepada desakan pimpinan utama Pas yang mahu ahlinya di Sungai Kandis memberi undi kepada calon BN Datuk Lokman Noor Adam.

Katanya lagi, sekiranya penyandang Allahyarham Mat Shuhaimi memperolehi majoriti tinggi pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, sudah pasti dikalangan penyokong Pas di Sungai Kandia  berbuat perkara sama kepada calon PRK Mohd Zawawi pada 4 Ogos ini.

“Pada 4 Ogos nanti menangkan ustaz Zawawi. Ahli Pas yang pantang disuruh pangkah dacing masa inilah undi Ustaz Zawawi.

“Kita nak orang Melayu semua sokongan kita. Kita nak PH kuat  kita mahu sokongan Melayu kuat. Jika Melayu tak sokong

bagaimana PH nak kuat?,” ujarnya .

Ahli Parlimen Kota Raja ini juga yakin calon PKR akan menang selesa pada PRK Sungai Kandis kali ini setelah melihat gerak kerja jentera pilihan raya Pemuda PH.

Tambah beliau lagi sekiranya kemenangan memihak kepada calon PKR ia akan memberikan laluan untuk memudahkan pelaksanaan perancangan manifesto diperingkat negeri dan nasional jika mendapat mandat yang besar dalam semua pilihan raya yang diadakan.

Annuar Musa 'pancing' pengundi Sg Kandis dengan sajaknya



SG KANDIS | Mungkin ramai tidak tahu Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa memiliki bakat terpendam yang jarang-jarang dipertontonkan di tengah khalayak.

Pertama kali turun berkempen sebagai pembangkang di Sungai Kandis, Annuar mendeklamasikan sajak hasil nukilannya sendiri.

Anggota parlimen Ketereh itu yang turun berkempen bagi calon BN Datuk Lokman Noor Adam berkata, sajak itu ditulis semasa perjalanan menuju sesi ceramah di daerah mengundi Jalan Kebun malam ini.

"Tadi saya dengar ada orang bersajak, saya pun nak baca sajak.

"Kita santai-santai malam ini," kata Annuar.

Dalam sajak berjudul "Ku Punya Malaysia Baru" itu, Annuar menyindir dasar Pakatan Harapan (HARAPAN) yang didakwanya dipengaruhi unsur-unsur komunisme, sosialisme, LGBT dan bahkan Syiah.

Antara baitnya berbunyi:

Ku punya Malaysia baru, yang tidak seperti dulu.
Penyokong pengganas, menjadi menteri; Pembela Chin Peng menjadi AG; Yang menyokong murtad, berjawatan tinggi.
Yang menolak hadis, berkuasa kembali; Yang homoseksual akan ke mari; Yang LGBT makin menjadi.

Di awal sesi ceramah malam ini, sebuah lagi sajak berjudul "Janji Tinggal Janji" turut dibacakan untuk mengingatkan pengundi-pengundi Sungai Kandis tentang senarai janji HARAPAN yang belum ditunaikan.

"Saya tak pernah bersajak," kata Annuar yang mendeklamasikan sajaknya di hadapan kira-kira 100 penyokong BN.

Secara berseloroh, Annuar berkata sudah menjadi kebiasaan ahli politik untuk berceramah, tetapi malam ini beliau memilih untuk membaca sajak.

Sebelumnya, Annuar memulakan ucapan pada kira-kira jam 11 malam dan dengan nada lantang mengingatkan pengundi-pengundi di Sungai Kandis tentang tanggungjawab mereka mengundi calon yang dapat mempertahankan hak mereka.

Berikut sajak penuh yang dikarang Annuar:

Ku Punya Malaysia Baru

Ku punya Malaysia Baru.
Kini ku punya Malaysia Baru, Yang tidak seperti dulu.
Yang Melayunya bersatu, Yang semua kaum berharmoni selalu, negeri pun jadi maju.

Kini ku punya Malaysia baru, Yang tidak seperti dulu.
Kuasanya tidak di tangan Melayu, Orang DAP menjadi penentu.

Ku punya Malaysia baru, yang tidak seperti dulu.
Orang lain dikira tuan, orang Melayu dikira pendatang, para komunis dianggap pejuang.

Ku punya Malaysia baru, yang tidak seperti dulu.
Penyokong pengganas, menjadi menteri; pembela Chin Peng menjadi AG; Yang menyokong murtad, berjawatan tinggi.
Yang menolak hadis, berkuasa kembali; Yang homoseksual akan ke mari; Yang LGBT makin menjadi.
Raja dan sultan bahan dimaki, ideologi komunis nak jadi buku mengaji.

Ku punya Malaysia baru, yang tidak seperti dulu.
Yang Syiah menjadi menteri, Yang Sosialis duduk tinggi; Yang Islam jadi minoriti, Yang berkuasa adalah DAP.

Ku punya Malaysia baru, yang tidak seperti dulu.


Mohamad Hassan ucap terima kasih pada PAS

MALAYSIAKINI

   
PRK SG KANDIS |  Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hassan menzahirkan ucapan terima kasih kepada PAS atas persefahaman, khususnya apabila parti itu tidak meletakkan calon dalam persaingan BN menghadapi Pakatan Harapan (HARAPAN) pada pilihan raya kecil kali ini, lapor media tempatan.

"Saya selaku timbalan presiden Umno dan pengarah jentera PRK BN di Sungai Kandis secara peribadi mengucapkan terima kasih kepada PAS kerana telah memberikan suatu persefahaman dengan tidak meletakkan calon parti itu di Sungai Kandis.

"Bukan setakat tidak meletakkan calon, para pemimpin PAS sudah turun padang dan berkempen kepada pengikut-pengikut parti itu supaya tidak menyokong HARAPAN dalam PRK ini," kata Mohamad Hassan dipetik wawancara Utusan Malaysia hari ini.

Beliau juga berharap titik persamaan dua parti itu dalam PRK Sungai Kandis akan dapat disambung untuk menjalin kerjasama.

"Jadi, saya amat berharap supaya titik persamaan yang diterjemahkan semasa PRK Sungai Kandis dapat disambung dan diperkasakan untuk jalinan kerjasama antara dua parti Melayu terbesar di negara ini," katanya.

HARAPAN kalah tak jadi 'kudis'

Menurut bekas menteri besar Negeri Sembilan lagi jika HARAPAN kalah dalam PRK kali ini ia tidak akan memberi kesan terhadap kedudukan pentadbiran pakatan itu di Selangor dan meskipun PKR menang besar dalam PRU14 lalu, Umno tetap berharap pengundi dapat buat pilihan rasional.

"Padahal kalau kalah pun tidak akan jadi 'kudis' pada Pakatan Harapan.

"Tak apa, kita 'langgar'. Kalah belum tentu, menang belum tahu. Saki-baki kempen dua hari ini diharap dapat meyakinkan orang ramai kepada BN," jelasnya.

Semalam, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata parti itu secara rasminya menyeru penyokongnya keluar mengundi pada pilihan raya kecil Sungai Kandis 4 Ogos ini, tetapi menegaskan parti itu tidak akan menyokong Pakatan Harapan (HARAPAN)dalam satu kenyataan hari ini.

Berikutan itu katanya pemimpin PAS yang menghadiri program di kawasan Sungai Kandis tidak bercanggah dengan pendirian parti.

Terdahulu, Mursyidul Am PAS Datuk Hashim Jasin dipetik berkata tiada arahan daripada parti itu kepada ahli dan penyokongnya yang akan mengundi pada pilihan raya kecil Sabtu ini.


Jamal turun Sungai Kandis esok

MalaysiaGazette
Jamal Yunos
Pengerusi Gabungan NGO Malaysia Merangkap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar,Datuk Seri Jamal Md Yunos menunaikan solat isyak secara berjemaah pada Majlis Doa Selamat dan Bacaan Yaasin di kediamannya yang terletak di Lorong C, Jalan 4M, Ampang Jaya, Ampang, Selangor. foto AFFAN FAUZI,
 

AMPANG – Datuk Seri Jamal Yunos berhasrat untuk turun ke Sungai Kandis esok bagi membantu calon Barisan Nasional (BN) berkempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan berlangsung Ahad ini.

Bercakap kepada media di rumahnya malam ini, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu berkata, beberapa perkara penting akan disampaikan kepada pengundi di kawasan berkenaan terutamanya isu-isu yang berkaitan kerajaan baharu hari ini.

Katanya, banyak maklum balas yang diterima khususnya melibatkan golongan muda yang merasa kesal kerana telah tersilap dalam percaturan ketika memilih pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Ramai yang mengadu dan merungut kerana tersalah membuat pilihan pada PRU yang lepas.

“Perkara ini akan saya sampaikan kepada pengundi-pengundi di Sungai Kandis agar mereka menelitinya betul-betul,” katanya.

Jamal berkata, beliau tidak mahu pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut membuat pilihan salah sebagaimana yang telah berlaku pada PRU lalu.

Sementara itu, katanya, langkah tersebut (turun ke Sungai Kandis) dibuat selepas beliau percaya dirinya masih mempunyai pengaruh yang kuat di dalam UMNO Selangor ekoran kemenangannya sebagai ketua UMNO di kawasannya pada pemilihan parti yang lalu.

Meskipun, namanya tidak terpilih untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia namun, katanya beliau yakin dirinya diterima anggota parti di semua peringkat.

Pada pemilihan UMNO lalu, Jamal menamakan dirinya untuk bertanding sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

Bagaimanapun, keputusan pemilihan memihak kepada Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang bertanding jawatan sama. – MalaysiaGazette


Rabu, 1 Ogos 2018

Di sebalik cubaan menghina Mat Sabu lebih mulia berbanding Najib



Di sebalik cubaan menghina Mat Sabu lebih mulia berbanding Najib



Siapa pun yang menonton video ucapan Najib Razak ketika berkempen di Sungai Kandis yang intipatinya memperlekeh serta menghina Mohamad Sabu selaku Menteri Pertahanan, pasti akan geleng kepala dan mengucap panjang dibuatnya.

Begitukah perilaku dan akhlak seorang bekas Perdana Menteri?

Adakah Najib sebenarnya sedang mengalami gangguan mental sejak kehilangan kuasa dan ditolak rakyat pada PRU14 yang lalu?

Pernahkah Najib menilai dan mencermin siapa dirinya terlebih dahulu sebelum berbuat begitu?

Sesuatu yang Najib harus sedari ialah Mohamad Sabu atau Mat Sabu baru tidak sampai dua bulan menjadi Menteri Pertahanan dan oleh yang demikian, adalah terlalu awal untuk membuat penilaian terhadap dirinya.

Bolehkah Najib mengingat kembali bagaimana kedudukan beliau ketika dua bulan menjadi timbalan menteri dahulu iaitu jawatan awalnya dalam kerajaan?

Siapakah agaknya yang lebih kartun jika dibuat perbandingan antara kedua-duanya?

Masih lupakah Najib bagaimana ucapannya ketika beliau menjadi Ketua Pemuda Umno dahulu yang sering menjadi bahan ketawa ramai?

Lagi pula, sebelum Najib mahu terus memperlekeh dan menghina orang lain dengan gelaran kartun dan sebagainya, lupakah bagaimana sebelum pilihanraya lalu beliau hampir setiap hari berbuat perkara yang sama terhadap Tun Mahathir Mohamad, terutama berkaitan usianya yang sudah mencecah usia 93 tahun?

Tetapi, apa jadi akhirnya?

Bukankah beliau kecundang dan tewas di tangan lelaki tua yang sudah berusia 93 tahun itu?

Dalam hal ini, meskipun Mat Sabu masih baru sebagai menteri, tetapi harus diakui beliau adalah pejuang rakyat yang punyai ramai peminat dan disanjung rakyat.

Jika antara Najib dan Mat Sabu muncul di khalayak ramai ketika ini, sudah pasti Menteri Pertahanan itu akan menjadi tumpuan dan lebih ramai yang ingin bergambar atau berselfie dengannya.

Sedarkah Najib hakikat itu?

Selain itu, sebelum mahu memperlekeh dan menghina orang lain, Najib juga seharusnya sedar bahawa beliau adalah sosok yang paling dibenci rakyat ketika ini sehingga riwayat kuasa Umno berakhir di bawah kepimpinannya.

Dengan dakwaan terkait dalam skandal kewangan 1MDB yang bernilai berbilion ringgit, selain di kediamannya dijumpai wang tunai, barang kemas dan beg tangan mewah yang dianggarkan bernilai lebih satu bilion ringgit, Najib sepatutnya insaf bahawa Mat Sabu jauh lebih mulia berbanding dirinya.

Pernahkah dalam sejarah negara sejak merdeka, kita ada pemimpin sebegitu rupa?

Yang nyata, dengan perilaku dan akhlak yang ditunjukkan Najib terhadap Mat Sabu ini, beliau akan terus membuatkan rakyat tambah benci terhadapnya, jauh sekali untuk bersimpati dengan nasibnya yang bakal berdepan lebih banyak pendakwaan di mahkamah serta mungkin mengakhiri kehidupan di penjara sebagai hukuman.

'Pemimpin PAS sokong calon BN tak langgar dasar parti'

MALAYSIAKINI

   

PRK SG KANDIS | Sokongan terbuka pemimpin PAS kepada calon BN dalam PRK Sungai Kandis tidak menyalahi dasar parti itu, kata Mursyidul Am PAS Datuk Hashim Jasin.

Menurut laporan Harakahdaily hari ini, Hashim berkata PAS membenarkan pemimpin dan anggotanya untuk berpihak kepada pihak yang kurang membawa mudarat antara pilihan yang ada.

"Sebagai salah seorang ahli majlis syura, apa saja keputusan yang PAS buat setakat ini belum lagi terkeluar atau menyanggahi dasar parti.

"Oleh itu andainya ada pemimpin PAS yang secara terbuka memberi sokongan kepada calon dari BN, ia tidak terkeluar daripada dasar PAS kerana kita dibenarkan untuk memihak kepada yang lebih ringan bahayanya dari keduanya (BN dan PKR)," katanya seperti dipetik.

Beliau mengulas sokongan yang ditunjukkan beberapa pemimpin PAS - antaranya anggota majlis syura Datuk Dr Khairuddin Aman Razali, anggota jawatankuasa pusat Mokhtar Senik dan ketua penerangan Nasrudin Hassan - kepada calon BN Datuk Lokman Noor Adam.



Mereka menggesa penyokong PAS di Sungai Kandis mengundi Lokman bagi memastikan kekalahan Pakatan Harapan (HARAPAN) di PRK yang akan berlangsung pada 4 Ogos ini.

Susulan itu, Pemuda PAS Kota Raja - DUN Sungai Kandis sebahagian daripada Parlimen Kota Raja - mempersoalkan sokongan itu termasuk penganjuran program khas pada 28 Julai lalu oleh parti itu untuk menggesa anggota parti agar mengundi Lokman.

Timbalan Ketuanya Mohd Najib Arshad berkata gesaan seperti itu bersifat dasar maka perlu mendapat persetujuan muktamar terlebih dulu.

Mengulas lanjut, Hashim berkata anggota PAS dapat membuat pilihan bijak antara BN dan HARAPAN dalam PRK itu tanpa arahan khusus daripada pimpinan parti.

Wakil parti yang membawa keburukan kepada rakyat dan politik negara perlu ditolak dalam PRK itu, kata Hashim lagi menurut laporan itu.


Selasa, 31 Julai 2018

PH terdesak adakan PRK Sungai Kandis tergesa-gesa

Manzaidi Mohd Amin

Calon Barisan Nasional (BN) N.49 Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.49 Sungai Kandis di Pejabat UMNO Bahagian Kota Raja, Seksyen 31, Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 31 JULAI 2018
Calon Barisan Nasional (BN) N.49 Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.49 Sungai Kandis di Pejabat UMNO Bahagian Kota Raja, Seksyen 31, Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 
 

SHAH ALAM – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dilihat sebagai pilihan raya tergesa-gesa oleh Pakatan Harapan (PH) yang sengaja diadakan awal bagi menutup kegagalan kerajaan itu menunaikan 10 janji kepada rakyat dalam tempoh 100 hari.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam mendakwa, kerajaan PH boleh saja mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya menetapkan tarikh lebih sesuai dan tidak terlalu dekat dengan pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), yang baru berakhir 9 Mei lalu.

“Mereka terpaksa adakan PRK lebih awal supaya rakyat tidak ada sebab untuk menyalahkan kerajaan PH gagal menunaikan 10 perkara dalam tempoh 100 hari kerana edah itu belum habis.

“Tapi kalau rakyat berfikiran rasional, hari ini hari ke 84, sekurang-kurangnya mereka sudah menunaikan lapan daripada 10 janji mereka,” katanya pada sidang media di pejabat UMNO Bahagian Kota Raja, dekat sini, hari ini.

Lokman yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO berkata, sehingga hari ini, hanya satu sahaja janji yang mereka tunaikan, iaitu menghapuskan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dari enam peratus kepada kosong.

Sembilan janji lagi, katanya, masih di awangan dan ada antaranya terpaksa u-turn semula kerana mendapati janji itu jika dilaksanakan boleh memberi kesan teruk kepada ekonomi negara.

“Apabila tidak dapat menunaikan janji itu, mereka akan beritahu rakyat, jika dilakukan juga, akan memberi kesan paling buruk kepada kerajaan.

“Inilah pembohongan nyata kerajaan PH ketika kempen PRU14 yang lalu, yang menyaksikan mereka menang banyak negeri dan menawan pusat pentadbiran Putrajaya,” katanya.

Ditanya akan kedatangan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sungai Kandis untuk membantu kempen calonnya, Mohd Zawawi Ahmad Mughni malam ini, Lokman berkata, itu membuktikan PKR tidak yakin akan menang apabila pemimpin utamanya terpaksa turun.

Beliau bagaimanapun, penuh yakin Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dijadualkan berceramah pada malam 3 Ogos ini, tidak akan hadir.

“Saya percaya beliau tidak akan hadir dan tidak akan membantu calon PKR kerana beliau sendiri mahu PKR kalah pada pilihan raya kecil ini,” katanya.

Mengenai dakwaan Mohd Zawawi kononnya beliau mendapat 100 peratus sokongan masyarakat India dalam DUN itu, katanya, tunggu dan lihat keputusan pada malam 4 Ogos ini.

“Kalau saya mendapat dua atau tiga undi kaum India, maknanya Mohd Zawawi telah berbohong,” katanya. – MalaysiaGazette


SG KANDIS TITIK PERSEFAHAMAN UMNO-PAS




Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis diharap menjadi titik permulaan persefahaman UMNO-PAS dalam memperjuangkan Islam dan hak orang Melayu serta Bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata persefahaman antara dua parti terbesar masyarakat Melayu itu memberi makna yang mendalam kepada politik tanah air.

“Hari ini, batu sempadan kita sedang dialih, hak Bumiputera dikacau bilaukan, MARA hendak dipecahkan kepada kementerian-kementerian lain, ini maruah kita, maruah orang Melayu dan akhirnya maruah kita dicabar dari hari ke hari sehingga kita berpecah belah.

“Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana PRK Sungai Kandis ini menjadi titik permulaan persefahaman antara UMNO dan PAS, dua parti orang Melayu yang terbesar. Jika persamaan (UMNO-PAS) ini dapat kita wujudkan, ia memberi pengertian besar kepada politik negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ceramah Penerangan Barisan Nasional (BN) PRK Sungai Kandis di Taman Seri Andalas di sini, Isnin malam.

Turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, beliau sendiri sudah beberapa kali mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi PAS dalam mencari persefahaman antara kedua-dua parti terbabit.

“Saya sudah berjumpa (pemimpin PAS) tiga ke empat kali dan akhirnya mereka melafazkan untuk pertama kali selepas 60 tahun bermusuh bahawa wajib untuk ahli PAS tidak menyokong Pakatan Harapan (PH) dan menyokong UMNO di Sungai Kandis. Ini adalah petanda.

“Saya yakin dan percaya jika ada kemahuan dan tekad seluruh orang Melayu yang sayangkan bangsa, agama tanah air, kita mampu mencapainya. Lupakan soal manifesto PH sebab memang tidak boleh dilaksanakan pun dan jika mereka laksanakan, akan memudaratkan ekonomi negara kerana itu adalah hakikatnya,” katanya.

Beliau berkata, jika BN diberikan mandat dalam PRK Sungai Kandis, ia bukan kemenangan kepada Datuk Lokman Noor Adam sebagai calon semata-mata, sebaliknya kemenangan perjuangan orang Melayu di negara ini.

“Ini akan menjadi satu referandum rakyat betapa mereka tidak berpuas hati terhadap manifesto PH yang tidak ditunaikan dan menjadi pembohngan kepada rakyat Malaysia.

“Sebangsat-bangsat UMNO, kita tidak akan menjual maruah bangsa, sebangsat-bangsat UMNO kita tidak akan mempertaruhkan agama kita,” katanya.


PRK SG KANDIS: PKR MINTA ‘TALIAN HAYAT’ DR MAHATHIR




Perpecahan dalam PKR dikatakan sedang berlaku, termasuk cubaan untuk mensabotaj calon parti itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam berkata, atas faktor itu PKR cuba ‘memujuk’ Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membantu kempen PKR yang berbaki beberapa hari lagi.

“Adakah mereka tidak yakin dengan Mohd Zawawi?. Ini adalah PRK (Pilihan Raya Kecil) DUN sahaja dan kalah atau menang tidak beri apa-apa kesan sehingga memerlukan seorang Perdana Menteri turun bantu kempen.

“Percayalah Dr Mahathir tidak akan turun berkempen. Jika beliau datang, akan memalukan diri sendiri.

“Nampaknya PKR sekali lagi terpaksa meminta ‘talian hayat’ Dr Mahathir untuk memenangkan mereka dalam pilihan raya,” katanya pada sidang media di Pejabat UMNO Bahagian Kota Raja pada Selasa.

Mengulas lanjut, Lokman yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, beliau yakin PRK Sungai Kandis akan memberi impak positif kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Sepanjang PRK Sungai Kandis, saya langsung tidak buat kempen murahan untuk Strategi BN ialah bangkitkan isu dasar lawan dasar serta berkempen secara profesional,” katanya.


Kehadiran Anwar bukan kerana sokongan PAS terhadap BN

THE MALAYSIAN TIMES
 


SHAH ALAM= Kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari-hari terakhir kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis minggu ini, bukan disebabkan PKR ‘tergugat’ dengan sokongan PAS terhadap calon BN.

Kehadiran Ketua Umum PKR itu sebenarnya telah dirancang dan dijadualkan di peringkat awal lagi, kata calon PKR bagi PRK itu, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

“Sebenarnya Datuk Seri Anwar Ibrahim masih dalam proses pemulihan rawatan di Turki dan masa yang beliau ada hanya selepas 31 Julai ke atas, sebab itu kita tetapkan tarikh tersebut (selepas 31 Julai) sesuai dengan keberadaan beliau di Malaysia.

“Kita telah jadualkan di peringkat awal tentang kehadiran beliau… jadi kita melihat tarikh beliau balik sempat untuk bersama kempen, bukan tiba-tiba di saat akhir memerlukan kehadiran beliau untuk membantu kempen,” katanya dalam sidang media yang turut dihadiri bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik, Yaakob Sapari di sini, hari ini.

Anwar dijadualkan hadir membantu kempen PRK bermula Rabu ini dan dijangka menyertai ceramah ‘grand finale’ pada malam terakhir kempen, Jumaat ini bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan barisan kepimpinan lain Pakatan Harapan (PH) – gabungan PKR, BERSATU, DAP dan AMANAH.

Menurut Mohd Zawawi, berdasarkan maklum balas daripada pengundi beliau yakin pengundi akan terus kekal bersama PH meskipun sasaran majoriti undi dijangka berkurangan daripada yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) atas beberapa faktor.

“Kalau pada PRU lepas kita dapat majoriti 12,480 undi, pada PRK ini kalaupun kita tidak dapat jumlah itu kita target untuk dapat sekurang-kurangnya 10,000 undi daripada pengundi atas pagar, pengundi PAS, UMNO yang mungkin melihat saya calon yang mereka harus pilih.

“Kita jangkakan PRK ini peratusan mengundi rendah kerana mereka baru sahaja mengundi pada PRU lepas. Ada yang kerja luar kawasan dan ada mempunyai masalah kos pengangkutan yang di luar bidang kuasa kami, jadi kami sedia maklum mengenai kekangan PRK ini,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai ketidakhadiran pemimpin DAP ketika ini untuk membantu kempennya, Mohd Zawawi berkata Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Kewangan Lim Guan Eng dijadualkan turun padang ke DUN Sungai Kandis pada Khamis ini sementara pemimpin veteran parti itu, Lim Kit Siang pula pada Jumaat.

Ketika ditanya sama ada pengundi Melayu di DUN Sungai Kandis boleh menerima DAP, beliau berkata perkembangan terkini menunjukkan bahawa orang Melayu sudah semakin terbuka terhadap parti itu.

“Cuma UMNO sahaja yang memburukkan dan (sebar) propaganda DAP sebagai parti rasis, anti Melayu dan sebagainya,” katanya.

PRK DUN Sungai Kandis merupakan PRK pertama selepas PRU14, yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

Pada hari pengundian Sabtu ini, Mohd Zawawi bakal ditentang calon BN Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas K. Murthy.– Bernama