Khamis, 1 April 2010

Pemimpin Gerakan Didakwa Talam Dua Muka

SUARA KEADILAN

PULAU PINANG - Pengerusi Gerakan Negeri Pulau Pinang yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan, Datuk Dr Teng Hock Nan didakwa talam dua muka kerana mengeluarkan kenyataan yang berbeza berhubung ucapan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa merasmikan mesyuarat agung pertama Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) minggu lalu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Ahli Dewan Undangan Negeri Komtar, Ng Wei Aik berkata Dr Teng mengutuk Dr Mahathir dalam kenyataan Mandarin yang dikeluarkan olehnya manakala dalam versi kenyataan bahasa Inggeris memuji pemimpin Umno yang menjarakkan diri daripada Perkasa walaupun keseluruhan kenyataan beliau tidak menyebut Dr Mahathir langsung.

"Sangkaan Dr Teng bahawa taktik sedemikian dapat membantu Gerakan untuk berkuasa semula di Pulau Pinang dan pada masa yang sama mengeratkan lagi hubungannya dengan Umno adalah tidak betul sekali. Ramai di antara kita akan tertanya-tanya apakah pendirian sebenar yang dipegang oleh Gerakan secara umumnya dan Dr Teng secara khususnya.

"Mengikut versi Mandarin, Dr Teng dengan lantang mengutuk Dr Mahathir bahawa kenyataannya “berbaur perkauman yang sengit dan tidak sedap didengari” serta menyifatkan Dr Mahathir tidak berkelayakan untuk menjadi seorang negarawan. Jikalau Dr. Mahathir yang “berbaur perkauman yang sengit” dikutuk oleh Dr Teng sekadar dalam media berbahasa Mandarin dan bukannya media berbahasa Melayu atau Inggeris, kenyataan sedemikian juga tidak sedap didengari.

"Dr Teng juga menyatakan bahawa kenyataan Dr Mahathir akan dikutuk oleh DAP dan PKR serta membantu kedua-dua parti politik tersebut mengaut modal politik mereka. Kami ingin memberi teguran kepada Dr Teng bahawa kenyataan beliau yang berdolak-dalik serta bertalam dua muka juga akan membantu DAP dan PKR dalam mengaut modal politik mereka, kata Wei Aik.

Beliau yang juga setiausaha politik kepada Ketua Menteri berkata pemimpin Gerakan itu harus berpegang teguh terhadap prinsip politiknya dan bukannya bersikap lidah bercabang dua apabila berhadapan dengan golongan sasaran yang berlainan.

"Janganlah pemimpin Gerakan berlagak seperti Dr Teng yang berfikiran sempit dan kolot sehingga sanggup memutarbelitkan rakyat kita dengan pendirian politik yang berbeza-beza. Gerakan pastinya akan gulung tikar dengan adanya pemimpin-pemimpin semacam Dr Teng," katanya lagi.

Sidang DUN Perak tanda Demokrasi terkubur

MERDEKA REVIEW



Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Pantai Remis Nga Kor Ming (DAP-PR) hari ini melahirkan perasaan kesal bahawa demokrasi telah terkubur dalam Negeri Perak memandangkan apa yang berlaku sempena persidangan Dewan Negeri kali ini yang hanya berlangsung setengah hari sahaja.

Nga melahirkan perasaan kesal yang tidak terhingga kerana semua ADUN pakatan Rakyat telah bersiap-sedia untuk membawa isu dan masalah rakyat pada sesi persidangan Dewan Undangan Negeri kali ini untuk mencari jalan penyelesaian tetapi hak dan niat suci mereka telah dinafikan dengan ala kuku besi.

Nga Kor Ming dalam kenyataan medianya berkata, Pakatan Rakyat meminta persidangan Dewan Negeri berlangsung lima hari supaya semua 59 orang wakil rakyat dari seluruh Negeri mempunyai masa yang cukup untuk membahas titah Ucapan Diraja dan mengutarakan masalah yang dihadapi oleh rakyat dalam kawasan masing-masing. Akan tetapi, permintaan yang cukup munasabah tersebut telah ditolak tanpa sebab oleh Kerajaan Negeri sebaliknya persidangan Dewan Negeri hanya diadakan tidak lebih dari 5 jam sahaja.

Nga, yang juga Ahli Parlimen Taiping berkata, beliau merujuk kepada perintah tetap Dewan Negeri tetapi haknya untuk membaca perintah tetap juga dicabul oleh Speaker BN, R, Ganesan, walaupun ia jelas termaktub dalam perintah tetap Dewan jika Ahli Dewan membaca perintah tetap, semua pihak perlu menghormati peraturan Mesyuarat tersebut.

Nga bertanya, "semua pembesar suara 28 orang ADUN Pakatan Rakyat Perak telah ditutup sepanjang masa, kita tidak boleh berucap, tidak dibenarkan tanya soalan tambahan, tidak boleh bahas titah Ucapan Tuanku, tidak boleh baca peraturan dan tidak boleh kemukakan usul, maka apa guna kita duduk dalam Dewan kuku besi sebegini?"

Nga berkata, selama tiga penggal beliau menjadi wakil rakyat sejak 1999, persidangan kali ini adalah antara yang paling teruk dari segi amalan Demokrasi dan hak-hak Ahli Dewan PR telah dicabul dengan sewenang-wenangnya. Sebaliknya ADUN Barisan Nasional mendapat layanan istimewa.

Nga Kor Ming pada persidangan kali ini membangkitkan perintah tetap perkara 3, 4 dan 6 mempertikaikan keesahan perlantikan R. Ganesan kerana perlantikan beliau tidak pernah mematuhi undang-undang dan tidak pernah dapat restu Ahli Dewan dengan undi bersurat sebagaimana yang ditetapkan oleh perlembagaan Negeri.

Media dikurung di galeri Orang Awam: Amalan anaktiri

Nga juga membidas pihak pentadbiran Barisan Nasional kerana mengkurung pihak media di galeri orang awam di tingkat tiga dan mengakibatkan pihak media tidak dapat membuat laporan liputan media dengan telus dan tepat. Beliau berkata, "kebanyakan media dikurung di bilik atas dengan pembesar suara ADUN Pakatan semua ditutup supaya pihak media tidak dapat dengar hujah ADUN Pakatan Rakyat. Sila tepuk dada, Tanya imam, adakah ini adil dan saksama?"

Nga Kor Ming (gambar kanan) juga mempersoalkan keputusan Zambry Bin Abdul Kadir yang memendekkan persidangan Dewan hingga kurang dari satu hari kerana ia adalah jelas kerajaan Negeri dibawah BN takut bahawa kemungkaran dan kelemahan pentadbiran mereka akan terdedah jika ADUN PAKATAN RAKYAT dibenar untuk membahas.

Selain itu, Nga Kor Ming berkata, tohmahan Zambry bahawa pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat pernah menawarkan beliau jawatan Menteri Besar Perak sebelum Mohammad Nizar Jamaluddin dilantik menyandang jawatan tersebut adalah satu kisah penglipur lara yang hanya sekadar bahan ketawa sahaja. "Jika benar, sila tunjukkan bukti dan ulangi di luar Dewan, jangan berlagak lempar batu, simpan tangan," kata beliau.

*Kenyataan media oleh Nga Kor Ming selaku Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Pantai Remis, Perak.

MPEN tak setuju kuota kaum diteruskan

Aidila Razak



Model Ekonomi Baru (MEB) tidak akan mempunyai kuota pemilikan berdasarkan kaum jika pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), Tan Sri Amirsham A Aziz mempunyai caranya sendiri.

Pada sidang media hari ini, beliau berkata laporan MEB yang diterbitkan oleh MPEN mencadangkan semua kuota pemilikan berasakan kaum dihapuskan secara beransur dan digantikan langkah-langkah meningkatkan keupayaan untuk semua.

"Tindakan sekarang lazimnya mensasarkan ekuiti, pekerjaan dan sebagainya. Apa yang kami katakan pada masa depan, ini tidak seharusnya berlaku. Sasaran kami ialah golongan bawahan 40 peratus kumpulan berpendapatan rendah,” kata beliau pada taklimat media di Kuala Lumpur.

Mengulas mengenai penyertaan Bumiputera, Amirsham berkata MEB akan meningkatkan lagi kapasiti usahawan dan tidak akan meminggirkan mana-mana kaum sepanjang pelaksanaannya.

Beliau berkata MPEN akan mengkaji pendekatan terbaik yang boleh menyokong bidang ekonomi utama yang disasarkan dalam MEB.

"Dalam MEB, tidak ada kuota pemilikan, namun apa yang kami mahu lihat ialah kapasiti perniagaan bumiputera disokong supaya mereka boleh menjalankan perniagaan yang lebih baik."

Sebagai contoh, pembiayaan dan akses internet adalah antara bidang yang perlu ditingkatkan supaya mereka dapat menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih baik dan operasi yang lebih cepat," kata Amirsham.

PM umum langkah tambahan elak rasuah

BERNAMA



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata mulai hari ini, tiga langkah tambahan akan dilaksanakan untuk meningkatkan integriti dan mengelakkan rasuah dalam urusan perolehan kerajaan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, semua pembida dikehendaki menandatangani Surat Akuan Pembida dan pembida berjaya dikehendaki menandatangani Surat Akuan Pembida Berjaya.

Seterusnya, mereka perlu menandatangani teks perjanjian yg mengandungi klausa Pencegahan Rasuah Dalam Perolehan Kerajaan, tambah Najib.

Katanya, langkah itu adalah inisiatif tambahan Kementerian Kewangan yang telah pun mensyaratkan satu klausa khas berkaitan "Integriti Pact" dimasukkkan dalam semua teks perjanjian yang berkaitan dengan kontrak perolehan kerajaan mulai 28 Feb, 2009.

"Semua inisiatif ini dilakukan demi untuk memperbaiki dan memperkukuhkan tahap integriti dan ketelusan sistem perolehan kerajaan," katanya selepas melancarkan portal MyProcument, Pusat Maklumat Perolehan Kerajaan di Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.

Pada sidang media, Najib menjelaskan klausa khas itu merupakan komitmen dan akujanji sebagai pembida yang berjaya, dan jika gagal memenuhinya maka tindakan boleh diambil.

"Tetapi sebelum itu, maknanya mereka faham tanggungjawab mereka sebagai seorang yang berjaya memperoleh kontrak. Perkara yang boleh dan yang tidak boleh dilakukan," kata beliau.

Beliau berkata melalui portal itu, keputusan tender akan dipaparkan dalam tempoh 14 hari atau mungkin lebih cepat daripada itu setelah surat setuju terima dikeluarkan kepada pembida berjaya.

Perdana Menteri berkata maklumat dalam portal itu akan dikemaskini setiap satu jam berikutan setiap kementerian akan mengemaskini maklumat masing-masing
dan tindakan akan diambil untuk memuat naik apa yang telah dilakukan oleh kementerian berkenaan.

Terdahulu, Najib di dalam ucapannya berkata pembangunan portal itu merupakan antara langkah terkini untuk meningkatkan ketelusan dan memastikan keseragaman dalam penyebaran maklumat berkaitan perolehan kerajaan.

Perdana Menteri berkata melalui laman web itu, kerajaan akan memaparkan pelbagai maklumat berkaitan perolehan kerajaan seperti iklan tender, keputusan tender, dasar perolehan kerajaan, tatacara perolehan kerajaan, soalan-soalan lazim, Perjanjian Integriti dan sebagainya.

"Sebagai permulaan, portal itu akan memaparkan senarai iklan tender dan keputusan tender semua kementerian dari bulan Jun tahun lalu sehingga yang terkini," kata beliau.

Najib berkata beliau berharap dengan adanya portal itu, semua pihak akan mendapat maklumat yang tepat mengenai perolehan kerajaan serta mengetahui perkembangan dan pembaharuan dalam perolehan kerajaan.

"Saya ingin mengingatkan semua Pegawai Pengawal agar memberi komitmen untuk memastikan semua maklumat berkaitan iklan dan keputusan tender kementerian masing-masing sentiasa dikemas kini dan dimuat naik dalam laman web masing-masing," katanya.

Beliau berkata maklumat yang dimuat naik mestilah cepat dan tepat bagi menjamin integriti data tersebut agar tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak memandangkan maklumat tersebut dipaparkan untuk pengetahuan umum.

Hisham janji siasat dakwaan Norizan ditembak polis

Salhan K Ahmad


Norizan Salleh hari ini menyerahkan memorandum kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussien mendesak supaya tindakan diambil terhadap anggota polis yang didakwanya bertindak tidak mengikut undang-undang dengan menembak dan mengasarinya dalam satu kejadian dalam Oktober tahun lalu.

Memorandum tersebut diserahkan kepada Hishammuddin di bangunan parlimen pada kira-kira jam 12.20 tengah hari.

Norizan, 29, (kanan) yang ditemani peguamnya N. Surendran, turut berpeluang bertemu dengan Hishammuddin selama kira-kira 10 minit untuk menceritakan keadaan yang dialaminya akibat kejadian tersebut.

Hishammuddin dalam kenyataan ringkas yang dibacakan oleh pegawainya, Datuk Markiman Kobiran berkata, beliau akan menyiasat dakwaan itu dan juga mendapatkan maklum balas daripada PDRM.

Dalam sidang media terdahulu, Norizan berkata beliau tidak mempunyai apa-apa rekod jenayah sebelum ini dan tidak sepatutnya diperlakukan demikian oleh anggota polis berkenaan.

Katanya lagi, beliau terpaksa menanggung perbelanjaan rawatan berjumlah hampir RM18,000 akibat perlakuan tersebut.

Tambahnya, beliau sebelum ini telah membuat laporan polis dan juga membuat aduan kepada Biro Aduan MCA dan kepada Suhakam, namun setakat ini tiada tindakan dikenakan ke atas anggota polis berkenaan.

Peguamnya Surendran pula berkata, pihaknya akan menyaman PDRM atas tindakan itu, namun lebih penting lagi adalah untuk memastikan anggota polis berkenaan dikenakan tindakan setimpal.

Jelasnya, tindakan anggota polis berkenaan memberi imej yang buruk kepada PDRM.

Din Beramboi Masih Tidak Sedarkan Diri..

MSTAR ONLINE

PETALING JAYA: Anak perempuan kepada DJ dan pelawak terkenal, Din Beramboi iaitu Nil Aina Adibah malam ini mengesahkan bahawa keadaan bapanya masih sama sepertima sebelum ini iaitu tidak sedarkan diri akibat virus denggi berdarah.

Awal malam tadi, terdapat berita mengatakan Din Beramboi berada dalam keadaan kritikal sehingga pihak hospital terpaksa memanggil ahli keluarganya segera.

Bagaimanapun, anaknya ketika dihubungi mStar Online mengesahkan keadaan Din Beramboi masih tidak berubah sepertimana siang tadi iaitu tidak sedarkan diri.

Aina memohon kepada semua orang yang mengenali bapanya supaya terus berdoa agar Din Beramboi pulih daripada sakit yang sedang dialaminya sekarang.

Ingatan kepada penzina buang, bunuh bayi

UTUSAN ONLINE

IPOH - Perbuatan membuang dan membunuh bayi yang semakin menjadi-jadi sekarang adalah lebih teruk dan kejam daripada perbuatan membunuh bayi perempuan yang dilakukan di zaman jahiliah.

Penasihat Khas Agama kepada Menteri Besar Perak, Kapten (B) Datuk Mohd. Najmuddin Elias berkata, ini kerana masyarakat sekarang sudah mempunyai fahaman agama serta ilmu pengetahuan, tidak seperti masyarakat jahiliah yang mempercayai anak perempuan membawa sial kepada keluarga.

Menurutnya, kejadian pembuangan bayi sekarang juga dilakukan tanpa mengira jantina anak kecil itu.

"Bertimpa-timpa dosanya kerana barangkali mereka yang membuang bayi itu pernah melakukan zina yang merupakan dosa besar dan kemudian membuang serta membunuh bayi juga satu lagi dosa besar.

''Mereka mungkin boleh terlepas hukuman dunia tetapi tidak boleh lari daripada hukuman akhirat dan mereka juga akan dibayangi pembalasan Allah atas apa yang mereka buat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai kes pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi di seluruh negara sejak kebelakangan ini.

Terbaru, mayat seorang bayi ditemui tersangkut pada pukat nelayan di Sungai Pasir di Kuantan, Pahang semalam dan pada hari sama, seorang wanita membuat laporan polis selepas seorang ibu tidak mengambil semula anak yang ditinggalkannya sejak seminggu lalu.

Pada Sabtu lalu pula, seorang bayi perempuan dijumpai dalam semak berhampiran tempat pembuangan sampah di sini dan beberapa hari selepas itu, mayat seorang bayi lelaki ditemui dengan tangannya terputus digonggong seekor anjing di sebuah kilang simen di Kampung Melayu Subang, Selangor.

Mohd. Najmuddin seterusnya memuji usaha Utusan Malaysia melancarkan kempen Kami Prihatin kerana ia membuka ruang kepada masyarakat untuk melibatkan diri membantu membendung masalah tersebut.

''Bagi saya, usaha menangani masalah ini bukan terletak kepada pihak berkuasa semata-mata tetapi perlu melibatkan semua masyarakat tanpa mengira kaum dan usia.

''Ini kerana perkara itu berlaku dalam masyarakat dan mereka yang mempunyai maklumat perlu melaporkan kepada pihak berkuasa," katanya.

Pelan tindakan dilancar


Hishammuddin Tun Hussein bersama Shahrizat Abdul Jalil melancarkan buku The National Action Plan Against Trafficking In Persons di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR - Komitmen dan aspirasi kerajaan untuk memerangi jenayah pemerdagangan orang diperkukuhkan hari ini dengan pelancaran Pelan Tindakan Kebangsaan Anti Pemerdagangan Orang.

Pelan yang dilancarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein itu akan dijadikan panduan kepada usaha memerangi jenayah berkenaan sekali gus menjadi pelengkap kepada Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007.

Ia mengandungi lima prinsip panduan selain masing-masing sembilan matlamat strategik dan bidang program untuk tempoh lima tahun bermula tahun ini sehingga 2015.

Hishamuddin berkata, pelan berkenaan merupakan satu platform untuk menggembleng usaha pelbagai kementerian, agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuklah rakyat jelata.

Kerana itu, kata beliau, pihaknya turut melibatkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan pelbagai agensi lain yang sebelum ini bergerak secara berasingan dalam isu yang sama.

"Pemerdagangan orang merupakan sesuatu yang serius untuk ditangani bersama.

"Dalam hal ini, saya percaya apa yang disediakan sebagai asas sekarang, adalah mencukupi untuk kita menganjakkan tindakan ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Kebangsaan Anti Pemerdagangan Orang di sini hari ini.

Menyaksikan pelancaran itu ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Sasaran jangka pendek dalam tempoh satu hingga dua tahun pelan berkenaan adalah mengukuhkan kerjasama antara agensi kerajaan serta pihak berkaitan di samping mengetatkan keselamatan sempadan dan pembinaan kapasiti seperti menyediakan rumah perlindungan yang mencukupi, kempen kesedaran awam dan memupuk kerjasama dengan negara asing.

Untuk tempoh tiga ke empat tahun, ia akan memberi tumpuan kepada pengurangan pekerja asing dan mengukuhkan perundangan domestik untuk menyokong Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007.

Dalam jangka panjang pula, pelan tersebut akan meneruskan rancangan jangka pendek dan pertengahan selain mengurangkan kes dan melahirkan pegawai yang berpengetahuan dalam isu berkaitan jenayah pemerdagangan orang.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, pelan tindakan itu akan digunakan untuk menangani masalah persepsi masyarakat antarabangsa terhadap negara ini dalam isu pemerdagangan orang.

Katanya, perkara itu sebenarnya hanyalah persepsi semata-mata sedangkan kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif untuk menanganinya.

"Tetapi ada kalanya kita tidak pandai masuk bakul angkat sendiri, tidak pandai pukul gendang dan tidak pandai menerangkan kepada pihak berkepentingan mengenai usaha yang telah kita lakukan.

"Saya akui ada kelemahan tetapi tidaklah seteruk seperti yang digambarkan masyarakat antarabangsa, ini akan ditangani dengan apa yang kita buat (pelan tindakan)," katanya.

Lim tangguhkan tinggalkan parti

Oleh Era Pakatan

BEKAS timbalan presiden MCA Tan Sri Lim Ah Lek mengambil keputusan untuk tidak keluar dari parti itu walaupun mempunyai hasrat untuk berbuat demikian sebelum ini.

Sumber parti memberitahu Bernama bahawa Lim mengubah pendiriannya selepas dirayu oleh empat veteran parti dalam satu pertemuan selama 90 minit di sebuah hotel di sini Rabu.

Empat tokoh berkenaan ialah dua bekas presiden dua bekas presiden -- Tan Sri Ong Ka Ting dan Tan Koon Swan serta timbalan presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai dan bekas ahli Jawatankuasa Pusat (CC) Datuk Wong Mook Leong.

Lim sudah bersedia mengemukakan surat pengundurannya kepada setiausaha agung parti semalam tetapi menangguhkan niat itu selepas diminta oleh empat pemimpin veteran itu yang ingin bertemu dengannya hari ini.

"Selepas pertemuan itu, Tan Sri (Lim Ah Lek) membatalkan hajatnya untuk menghantar surat itu selepas mengambil kira implikasi negatif kepada parti itu hasil daripada tindakannya itu, " kata sumber itu.

Lim merupakan ahli seumur hidup parti itu.

Keempat-empat pemimpin itu menyatakan mungkin ramai ahli dan pemimpin akan mengikut jejak langkah Lim jika dia meninggalkan parti itu dan sekaligus menjejaskan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor akan datang.

Adalah difahamkan, Lim dalam draf suratnya telah menyatakan hasrat untuk keluar parti berikutan pemilihan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebagai presiden pada pemilihan baru parti itu Ahad lalu.

Dr Chua menewaskan penyandang Datuk Seri Ong Tee Keat dan Ka Ting dalam pertandingan tiga penjuru merebut jawatan presiden.

Lim, ketika ditemui selepas perjumpaan itu, menjelaskan bahawa beliau setia kepada parti sejak 42 tahun dan nilai moral yang disemai oleh ibu bapanya telah melarang beliau berdamping dengan parti di bawah kepimpinan baru.

Katanya walaupun beliau boleh memaafkan atau tidak membangkitkan sama sekali skandal sex DVD membabitkan Dr Chua tetapi zaman internet tidak membenarkan masyarakat melupakan insiden itu dan ianya di luar kawalan.

Menurutnya beliau berpendapat reputasi MCA telah terjejas kerana mempunyai seorang presiden yang terbabit dalam skandal seperti itu.

Ahmad Ismail mahu berkempen di Hulu S'gor

Abdul Rahim Sabri

Bekas ketua bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail akan bersama dengan jentera BN untuk berkempen dalam pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor.

"BN akan bertanding, (jadi) kita akan turun untuk membantu calon BN mencapai kemenangan. Kita akan hantar orang kita ke sana (untuk berkempen)," katanya.

Ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini, Ahmad berkata beliau bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan meninjau kehendak akar umbi terlebih dahulu sebelum menentukan calon yang sesuai bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

Ahmad yang juga presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) berkata, pada pandangan beliau, calon yang dipilih mestilah berdasarkan majoriti kaum yang di situ.

"Majoriti di (parlimen) Hulu Selangor adalah Melayu. Oleh itu, beri kepada Umno dan pada masa yang sama, kejujuran parti lain juga akan teruji..

“Saya sokong penuh calon Umno bertanding (di Hulu Selangor)," katanya ketika diminta mengulas gesaan beberapa pemimpin Umno di situ yang mahukan kerusi tersebut dipulangkan kepada parti itu.

Bagaimanaun, Ahmad berkata beliau menyerahkan kepada Najib yang juga presiden Umno untuk menentukan calon yang layak dan boleh memberi kemenangan kepada BN.

Ini kerana, katanya, Najib mempunyai hak istimewa untuk berbuat demikian memandangkan beliau juga pengerusi BN.

Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad, 71, akibat barah otak Khamis lalu.

Allahyarham memenangi kerusi itu setelah mengalahkan calon BN dari MIC, Datuk G Palanivel dengan majoriti 198 undi dalam pilihan raya umum 2008.

Parlimen Hulu Selangor mempunyai 63,539 pengundi dengan 53.9 peratus Melayu; China (26.7 peratus) dan India (19 peratus).

Kesemua tiga kerusi DUN dalam parlimen Hulu Selangor - Kuala Kubu Bharu (MCA), Batang Kali (Umno) dan Hulu Bernam (Umno) dikuasai oleh BN.

Dalam perkembangan lain, Ahmad turut memberi sokongan penuh kepada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) untuk terus memperjuang dan membela Melayu sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Perkasa adalah sebuah NGO yang mana kepimpinannya bukan sahaja dari kalangan pemimpin politik semata-mata tetapi dari kalangan ahli perniagaan dan lain-lain. Ia adalah satu gabungan yang mantap.

"Kita akan me
nyokong dari segi keputusan dan kenyataan yang dibuat. Orang Melayu wajar dibela. Kita juga akan buat perjumpaan (dengan mereka) dan kita akan menghantar orang dalam program mereka untuk memberi sokongan," katanya.

Mengenai tindakan ahli jawatankuasa Umno bahagian Bukit Bendera, meletak jawatan secara sukarela untuk memberi laluan kepada beliau kembali memimpin bahagian itu, Ahmad berkata beliau merasa bersyukur dan terharu.

"Saya tidak akan sia-siakan kepercayaan mereka untuk memartabatkan bangsa Melayu," katanya.

Pa

da September 2008, Majlis Tertinggi (MT) Umno menggantung keahlian Ahmad dan melucutkan haknya dalam parti, termasuk jawatan ketua bahagian, selama tiga tahun kerana membuat kenyataan yang berbaur perkauman terhadap masyarakat Cina.

Ahmad didakwa berkata bahawa kaum itu "menumpang" di negara dan meminta mereka supaya tidak menjadi seperti orang Yahudi di Amerika yang mahu menguasai ekonomi dan kuasa politik.

Ahmad juga dilaporkan menggesa Gerakan supaya keluar dari BN dan manakala seorang penyokongnya telah bertindak mengoyak gambar pemangku presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Bagaimanapun pada Disember tahun lalu, MT memutuskan untuk menarik semula penggantungan terhadap Ahmad.