KUALA LUMPUR:
Kemenangan Barisan Nasional di Semenyih membawa maksud yang besar iaitu
kebangkitan rakyat, kata Pengerusi BN Selangor, Dato’ Mat Nadzari Ahmad
Dahlan.
“Kami menyatakan kesyukuran ke hadrat
Allah SWT atas kemenangan yang tidak dijangka di saat kami berdepan
jentera kerajaan negeri dan pusat serta gabungan politik Pakatan Harapan
yang begitu angkuh dan sombong dengan kuasa dan mandat yang diterima
mereka pada PRU14 lalu.
“Namun kami menjadikan perkara itu
sebagai dorongan dan panduan untuk kami menjalankan kempen dan meraih
undi secara bebas, telus dan berintegriti,” ujarnya dalam kenyataan,
malam tadi.
Beliau berkata, pihaknya tidak
menjanjikan bulan dan bintang termasuk tol percuma waima kereta terbang
sekalipun kepada pengundi di Semenyih, sebaliknya calon BN, Zakaria
Hanafi yang dipertaruhkan untuk menjadi suara rakyat bukan sahaja di
Semenyih tetapi di Selangor dan Malaysia.
Ini, katanya untuk menjadi manifestasi bahawa kuasa dan mandat yang diberi kepada PH pada PRU14 lalu bukan saja-saja.
Justeru, ujarnya PH jangan berterusan
beretorik mengatakan baru sembilan bulan menjadi kerajaan, semuanya
salah kerajaan terdahulu, tidak sangka boleh menang dan alasan demi
alasan untuk menghalalkan pembohongan.
“Mari kita menuntut segala janji yang
telah dibuat kepada rakyat bermula dari PRU14 sehingga PRK
kali ini oleh
kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan di bawah PH,” katanya lagi.
Tambahnya, PH perlu membuktikan dengan
pelaksanaan terhadap apa yang telah dijanjikan untuk Semenyih dan jangan
anak tirikan Semenyih selepas ini kerana kalah.
Apapun, ujarnya BN Selangor komited
untuk menjadi semak dan imbang kepada kerajaan negeri dengan lima Adun
BN dan satu daripada PAS.
Menurutnya, mandat yang diberi kepada
Zakaria tidak akan disia-siakan dan percayalah BN Selangor komited
menjadi pembangkang yang efisien dan tegas dalam membawa suara rakyat.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada
seluruh jentera BN, PAS serta NGO bebas yang bertungkus-lumus sejak hari
pertama bagi memastikan kemenangan BN.
“Kepada 19,780 yang mengundi kami
termasuk juga 17,866 yang mengundi PH, Zakaria akan menjadi wakil rakyat
anda yang berkesan,” ujarnya.
Pada PRK Semenyih yang diadakan semalam,
calon BN, Zakaria Hanafi memperoleh 19,780 undi, Muhammad Aiman Zainali
(PH) mendapat 17,866 undi, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik
Aziz Afiq Abdul (847 undi) manakala calon Bebas, Kuan Chee Heng (725
undi). – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan