Oleh Azman Bin Ibrahim
PUTRAJAYA: Tiada perarakan gemilang Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya tahun ini.
Berikutan negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan mengamalkan norma baharu, sambutan Hari Kebangsaan ke-63 tahun ini akan dijayakan secara simbolik dengan Perarakan Berkuda Perkhidmatan Awam Peringkat Wilayah Persekutuan pada 30 Ogos.
Sambutan berkenaan bersempena dwi sambutan iaitu Hari Kebangsaan 2020 dan Jubli Perak Putrajaya.
Sambutan pukul 8 pagi itu tidak akan melibatkan perhimpunan orang ramai bagi menjaga penjarakan sosial sebaliknya hanya melibatkan para peserta sahaja.
Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, agensi-agensi perkhidmatan awam yang terlibat adalah PPj, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Katanya, perarakan itu melibatkan 88 ekor kuda dan para peserta akan
mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang perarakan berkenaan di Dataran
Putrajaya.
“Perarakan ini juga bersempena sambutan ke-25 tahun Putrajaya. Tarikh lahir Putrajaya pada 29 Ogos 1995.
“Konsep kita tidak ada perhimpunan awam. Peserta hanya kibarkan Jalur
Gemilang,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya
di sini baru-baru ini.
Pada tahun lalu, Sambutan Hari Kebangsaan diadakan di Dataran di Putrajaya yang melibatkan 17,353 peserta perarakan.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menjadi tetamu istimewa pada majis sambutan tahun lalu.
Putrajaya pernah menjadi lokasi bagi penganjuran Hari Kebangsaan pada 2003, 2005, 2018 dan 2019. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan