Sabtu, 8 Ogos 2020

Rancang MAHA 2020 dalam norma baharu

 Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID

MELAKA: Penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA 2020) yang dijadual diadakan November depan akan dilaksanakan sepenuhnya dalam suasana norma baharu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, rancangan itu termasuk aktiviti jualan dan pameran yang akan dilaksanakan secara fizikal dan maya (virtual).

Menurutnya, perancangan itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), baru-baru ini.

“Bagaimanapun, kita masih lagi menunggu keputusan kerajaan, khususnya Majlis Keselamatan Negara (MKN) sama ada membenarkan penganjuran MAHA 2020 atau sebaliknya.

“Saya jangka penganjuran acara dwi-tahunan itu dapat pertimbangan baik daripada MKN kerana ia mampu membantu golongan peladang, penternak dan nelayan menjual hasil mereka,” katanya selepas merasmikan program Melabuh Unjam, Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) di Jeti Nelayan Umbai, Serkam di sini hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, penularan Covid-19 di negara ini turut mengubah cara penganjuran MAHA 2020 apabila ia dijangka diadakan secara hybrid antara 26 hingga 29 November ini.

Kerajaan juga bersetuju secara dasar dengan cadangan penganjuran MAHA 2020 yang akan diadakan secara fizikal dan maya (virtual).

Susulan itu, pihak pengurusan Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor akan menyediakan garis panduan yang perlu dipatuhi untuk penganjuran pameran pertanian terbesar negara itu.

Ia termasuk hanya peserta yang diberi kad jemputan sahaja dibenarkan masuk ke tapak pameran manakala kehadiran mereka perlu direkodkan.

Peserta-peserta antarabangsa pula hanya dibenarkan terbabit secara dalam talian. – UTUSAN

Tiada ulasan: