PUTRAJAYA – Kerajaan membenarkan penganjuran mesyuarat, seminar, kursus dan latihan diadakan seperti biasa, namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.
“Bagaimanapun prosedur operasi standard (SOP) mengenai perkara itu sedang diperhalusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersama Kementerian Kesihatan (KKM).
“Insya-Allah, saya akan umumkan SOP tersebut (nanti),” katanya pada sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.
Sejak PKP dilaksana pada 18 Mac lepas, kerajaan tidak membenarkan acara-acara tersebut dianjurkan oleh mana-mana agensi dalam usaha membendung penularan COVID-19 di negara ini.
Mengenai operasi kawasan rehat dan rawat (R&R), Ismail Sabri menggesa pengusaha gerai di kawasan berkenaan menyediakan cecair pencuci tangan dan sabun selain merekod data peribadi pengunjung kerana orang ramai dijangka mula pulang ke kampung mulai hari ini hingga Ahad
“Pengunjung R&R perlu merekodkan nama, nombor telefon dan suhu badan melalui aplikasi MySejahtera atau secara manual melalui buku log,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata kawasan permainan kanak-kanak di R&R ditutup buat masa ini manakala operasi gerai makan dibenarkan beroperasi setiap hari bermula 6 pagi hingga 12 tengah malam.
“Orang ramai diminta untuk mematuhi SOP R&R yang ditetapkan dan juga mengamalkan disiplin diri apabila berada di kampung halaman dan amalkan kawalan kendiri untuk kekal selamat,” katanya.
Susulan pelaksanaan PKPP bermula 10 Jun, kerajaan memberikan kelonggaran peraturan termasuk kebenaran untuk merentas negeri namun larangan masih dikenakan terhadap kawasan yang menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan