Khamis, 20 Ogos 2020

88 kuda bakal meriahkan hari kebangsaan norma baharu

BERNAMA
 
FOTO Bernama

BIARPUN kira-kira 90 peratus aktiviti sambutan Jubli Perak Putrajaya dan Hari Kebangsaan ke-63 di Putrajaya 'terencat' susulan pandemik Covid-19, namun perarakan 88 ekor kuda pada 30 Ogos ini menjadi tonggak simbolik semangat dwi sambutan terus diraikan.

Perarakan berkuda itu akan diketuai Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Dr Aminuddin Hassim yang disertai unit berkuda Perbadanan Putrajaya (PPj) serta agensi lain termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Aminuddin berkata, perarakan sejauh 6.7 kilometer dari Dataran Putrajaya ke Dataran Putra serta berpatah balik ke Dataran Putrajaya mengambil masa selama dua jam bermula 10 pagi.

Beliau berkata, peserta akan membawa bendera Malaysia, Malaysia Prihatin, bendera 25 tahun Putrajaya, bendera 50 Rukun Negara dan bendera agensi masing-masing.

"Bilangan 88 ekor kuda dipilih bagi menyertai perarakan itu sebagai simbolik bagi gabungan nombor (63+25), ulang tahun kedua-dua sambutan itu," katanya.

Ulang tahun kemerdekaan yang ke-63 disambut pada 31 Ogos ini manakala pusat pentadbiran kerajaan Putrajaya yang ditubuhkan pada 29 Ogos 1995 pula meraikan ulang tahun ke-25 pada tahun ini.

Bagi mengelakkan orang ramai berkumpul untuk menonton acara perarakan berkuda itu, Aminuddin berkata, pihak PPj akan bekerjasama dengan PDRM untuk kawalan dan pemantauan.

Sehari sebelum perarakan berkuda (29 Ogos) juga bersempena dengan dwi sambutan itu, acara terjunan base akan berlangsung di Jambatan Monorel, Presint 3 dan peserta dijangka mendarat di kawasan lapang tapak Floria Putrajaya.

Aksi terjunan base itu akan dilakukan oleh enam penerjun tempatan yang turut diwakili seorang kakitangan PPj Adi Khirman Marji, katanya.

"Penerjun kemudian akan menyerahkan bendera Jubli Perak dan Malaysia kepada Presiden PPj sebagai simbolik bagi meneruskan acara dwi sambutan itu dengan acara perarakan berkuda," katanya.

Aminuddin berkata pelbagai acara dirancang PPj sempena sambutan Jubli Perak Putrajaya pada tahun ini namun tidak dapat dilaksanakan dan akan ditunda ke tahun depan.

Bagi memeriahkan sambutan kemerdekaan pada tahun ini, Aminuddin berkata PPj menyerahkan 3,600 bendera Malaysia kepada Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan untuk dipasang di jalan-jalan utama sekitar Putrajaya.

Beliau berkata lebih 6,400 bendera Malaysia turut dipasang di bangunan-bangunan awam, medan-medan selera dan kawasan awam di sekitar Putrajaya.

Tiada ulasan: