Ahad, 26 Julai 2020

Program simbolik ganti acara perbarisan sambut Hari Kebangsaan tahun ini

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berkata, acara perbarisan Hari
Kebangsaan akan digantikan dengan program simbolik berikutan ancaman wabak
Covid-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.

KUANTAN: Acara perbarisan Hari Kebangsaan pada tahun ini akan digantikan dengan program lain berbentuk simbolik, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata keputusan itu dibuat ekoran negara masih dalam pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang kini memasuki peringkat pemulihan (PKPP) selain ancaman penularan pandemik Covid-19 masih wujud.

“Walaupun tanpa perbarisan, masih ada 1-2 aktiviti yang akan diadakan pada 31 Ogos, yang boleh dianggap sebagai simbolik kepada sambutan Hari Kebangsaan.

“Bagaimanapun, saya tidak boleh mengumumkannya dengan lebih mendalam buat masa ini kerana ia masih bergantung kepada nasihat daripada Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara,” katanya.

Saifuddin Abdullah

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis pelancaran Kit Permulaan Hospital 2020 Persatuan Sokongan Anak-anak Kanser (Pesona) yang turut dihadiri pengerusinya, Wan Shahriza Wan Ab Rahman di sini, hari ini.

Saifuddin juga berkata, Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menayangkan program khas Hari Kebangsaan pada pagi 31 Ogos supaya pengisian sambutan masih wujud meskipun tidak meriah seperti sebelum ini.

Pada 8 Julai, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, tidak ada perbarisan atau perhimpunan dijadualkan berlangsung pada sambutan Hari Kebangsaan setakat ini kerana acara itu berskala besar dan melibatkan ribuan peserta.

Mengulas perkembangan berkaitan, Saifuddin turut menggalakkan orang ramai untuk mengibarkan bendera Malaysia selepas pelancaran kempen kibar Jalur Gemilang oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mulai Selasa ini sehingga sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept depan.

Wan Shahriza pula berkata, kit permulaan itu mengandungi kelengkapan bagi pesakit yang melakukan rawatan kanser di hospital seperti termometer, tuala, selimut, pembasmi kuman, set pembersihan diri dan pelitup muka.

Tiada ulasan: