Selasa, 30 Jun 2020

Kebenaran konvoi mungkin ditarik jika gagal patuhi SOP [METROTV]

Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SEBANYAK 358 saman dikeluarkan polis dalam operasi di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lanchang dan R&R Chenor di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Temerloh pada 28 Jun. FOTO arkib NSTPSEBANYAK 358 saman dikeluarkan polis dalam operasi di kawasan Rehat dan Rawat
(R&R) Lanchang dan R&R Chenor di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Temerloh
pada 28 Jun. FOTO arkib NSTP

KEBENARAN aktiviti berkonvoi kenderaan mungkin akan ditarik semula jika peserta berterusan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Ia susulan penahanan sekumpulan penunggang motosikal yang berkonvoi dan berkumpul di Pahang, semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun penahanan semalam adalah kes terpencil dan kejadian pertama berlaku.

"Setiap peserta konvoi perlu memastikan kawalan kendiri dan mempraktikkan SOP yang ditetapkan.

"Namun, jika perkara ini berterusan, kebenaran yang kita berikan ini akan ditarik semula. Bukan mustahil untuk kerajaan menarik semula kebenaran yang diberikan," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, masyarakat boleh melihat premis perniagaan seperti restoran yang ditutup kerana melanggar SOP.

"Kalau terlalu banyak kesalahan dilakukan akan menyebabkan keseluruhan konvoi di seluruh negara tidak dibenarkan.

"Saya harap ini adalah kali pertama dan terakhir mereka lakukan," katanya.

Sementara itu, mengulas berhubung pematuhan SOP di Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini, Ismail Sabri berkata, pasukan pemantau diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berada di mana-mana saja bagi memastikan SOP dipatuhi.

"Saya tidak tahu berapa banyak laporan mengenai pelanggaran SOP di Chini namun saya ingin mengingatkan kepada semua di Chini tidak kira calon, petugas, orang ramai, penyokong dan pengundi bahawa kegagalan pematuhan SOP boleh diambil tindakan," katanya.

Tiada ulasan: