Rabu, 21 Ogos 2019

'PAS patut izin tokoh agama PH berceramah di Kelantan'


   

Ketika PAS begitu lantang mengkritik kerajaan PH atas sekatan pihak berkuasa kepada Dr Zakir Naik di negara ini, Amanah pula menggesa kerajaan Kelantan menunjukkan keterbukaan dengan membenarkan pendakwah tidak sealiran dengan parti itu menyampaikan ceramah di masjid dan surau di negeri berkenaan.

Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Hazmi Hassan, berkata kecaman PAS kepada PH bersandarkan kepada hak dan kebebasan yang dituntut agar diberikan kepada Zakir.

Justeru, katanya, kebebasan yang dimahukan itu perlu dibuktikan secara amali di Kelantan terlebih dulu.

"Jika PAS ikhlas dalam isu ini, mereka sepatutnya tidak menghalang tokoh-tokoh agama yang tidak sealiran untuk menyampaikan kuliah atau ceramah di masjid-masjid seluruh Kelantan.

"Misalnya pengerusi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nik Omar (Nik Abdul Aziz) yang tidak dibenarkan untuk menyampaikan ceramah di surau dan masjid di Kelantan.

"Larangan demi larangan seperti itu jelas memperlihatkan pimpinan PAS hanya mahu meraih kepentingan politik melalui isu Zakir," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi, hari ini.

Keberadaan Zakir di negara ini tidak begitu dipedulikan sebahagian besar rakyat Malaysia - kecuali beberapa pemimpin politik tertentu - selepas dia diberi taraf pemastautin tetap oleh kerajaan.

Penceramah PAS bebas di negeri PH
 
Bagaimanapun keadaan berubah selepas kerajaan Kelantan membawa Zakir untuk berceramah di Kota Bharu pada 10 Ogos lalu. Dalam program yang diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV itu, sebahagian ucapan pendakwah yang dikehendaki New Delhi itu menarik perhatian ramai apabila dia menyentuh mengenai kedudukan penganut Hindu dan orang Cina di negara ini.

Zakir mendakwa kenyataannya dipetik di luar konteks. Dia kemudian meminta maaf selepas memberi keterangan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Polis kemudian melarang Zakir menyampaikan ceramah melalui apa-apa wadah - termasuk di media sosial - di negara ini sehingga siasatan kesnya diselesaikan.

Semalam Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata larangan menyekat dakwah bercanggah dengan syarak, dan sepatutnya Zakir diberikan panduan agar tidak menyentuh isu-isu sensitif.

Anggota Parlimen Bachok Nik Abduh Nik Abdul Aziz pula sebelum ini menyifatkan, hanya umat Islam yang munafik sahaja yang bersetuju menghalau pendakwah tersohor itu.

Hazmi berkata PAS sebenarnya hanya memperjuangkan sesuatu isu jika ia mampu membawa keuntungan politik kepada parti berkenaan.

Katanya, Kelantan wajar memberi laluan kepada mana-mana tokoh agama yang mempunyai kredibiliti menyampaikan dakwah di negeri itu tanpa mengambil kira ideologi politik masing-masing.

"Kelantan wajar mencontohi kerajaan negeri yang ditadbir PH apabila penceramah dan pemimpin PAS masih dibenarkan berceramah di masjid-masjid yang ada," katanya.

Tiada ulasan: