SEREMBAN: Hampir 10 minit selepas bercakap mengenai kepentingan umat Islam membina hubungan dengan bukan Islam, pendakwah Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu seperti mempunyai peluang untuk menggambarkan maksud sebenar yang ingin disampaikannya.
Zamri yang sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas ditahan polis atas dakwaan menghina agama Hindu dalam satu ceramah pada Disember lalu, didapati mempertahankan wartawan FMT, yang ada daripadanya bukan Islam, apabila diminta keluar dari sebuah masjid.
Ini juga adalah satu contoh perbuatan yang pernah dikritik oleh Zamri berhubung isu sikap umat Islam dalam ucapannya tahun lepas.
Seorang ahli jawatankuasa masjid yang tidak senang ketika temu bual itu sedang dijalankan meminta kami memberhentikannya.
Tindakan itu menyebabkan Zamri memberitahu individu itu supaya mengambil pendekatan yang lebih baik.
“Beberapa anggota media ini ada yang bukan Islam dan pendekatan ini tidak mencerminkan nilai Islam,” katanya kepada lelaki itu.
Beliau kemudiannya meminta maaf kepada kami atas sikap ahli jawatankuasa masjid itu.
“Orang seperti ini ada di mana-mana. Anda tidak dapat menghentikannya”
Salah faham sedemikian tentang Islam katanya, adalah sesuatu yang beliau cuba atasi apabila melawat gereja, kuil dan gudwara melalui pertubuhan yang diketuainya, iaitu One Centre Malaysia.
“Jika kita dekat dengan orang bukan Islam, mereka mempunyai peluang untuk memahami pemikiran dan pandangan kita. Jadi ia sesuatu yang perlu dilakukan.”
Zamri ditahan pada 28 April lalu atas dakwaan menghina agama Hindu sewaktu menyampaikan satu ceramah di sebuah masjid di Kelantan pada 30 Disember tahun lalu.
Zamri disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana mengganggu keharmonian dan mengeluarkan kata-kata menghina.
Zamri dilepaskan daripada tahanan polis pada 1 Mei lalu.
Tetapi salah faham seolah-olah mengikuti dirinya.
Dalam pada itu, Zamri yang berasal dari Seremban berkata, penangkapan dan tahanan reman selama 4 hari baru-baru ini adalah kerana ceramahnya telah disalah tafsir sesetengah orang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan