Sabtu, 24 November 2018

Lepas dicabar naik pentas Adun PH dikecam

DENYUT REFORMASI

 
 
Seorang ahli dewan undangan negeri (Adun) Pakatan Harapan menyahut cabaran penganjur protes Icerd dengan berceramah di pentas mereka semalam.

Bagaimanapun ceramah itu hanya berlangsung kira-kira dua minit saja apabila Adun terbabit dikecam orang ramai dan diarah turun dari pentas berkenaan.

Menceritakan kejadian itu kepada Malaysiakini Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata salah seorang penceramah himpunan di pekarangan Masjid Ridzwaniah di Kuala Kangsar itu mencabarnya berucap.

Kata Adun Titi Serong itu kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang iaitu sejurus selepas solat Jumaat berakhir.

Menurut Hasnul dia bukan sengaja naik ke pentas itu sebaliknya dicabar supaya berada di pentas berkenaan.

 
"Saya menggunakan platform untuk memberi kesedaran bahawa ada ayat al-Quran menjelaskan bagaimana kita perlu saling berbaik-baik sesama bangsa lain, bukannya menimbulkan kerisauan atau ketegangan antara kaum," katanya.

Selepas berada di situ kata Hasnul dia menjelaskan bahawa isu yang juga besar ketika ini ialah skandal 1MDB, perompakan wang rakyat serta integriti ahli politik serta sesetengah pegawai kerajaan.

"Malah bekas perdana menteri Najib Razak juga dilaporkan mengaku dia ditipu," katanya.
Bagaimanapun katanya selepas itu dia dikecam malah ada antara orang yang hadir di himpunan tersebut mencemuhnya dengan kata-kata kesat.

Disebabkan mahu mengelak ketegangan kata Hasnul dia turun dari pentas dan berlalu dari situ sambil sebahagian orang yang hadir melakukan provokasi.

"Saya tidak melayan mereka sebaliknya cuba beramah mesra, beri salam dan hulurkan tangan," katanya.

Himpunan itu dipercayai dianjurkan penyokong pembangkang.

Menurut Hasnul dia berada di situ secara kebetulan kerana mengerjakan solat Jumaat selepas melihat persediaan petugas Pemuda Amanah menyiapkan Dewan Jubli Perak yang terletak berhadapan masjid terbabit.
Dewan itu menjadi tempat Pemuda Amanah mengadakan konvensyen peringkat kebangsaan hari ini.
 
 

Tiada ulasan: