Selasa, 13 Ogos 2019

MP PAS: Gagal ke ceramah Zakir Naik, Kit Siang patut tutup mulut

MALAYSIAKINI

   

Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri, Che Abdullah Mat Nawi berkata Lim Kit Siang patut "tutup mulut" dan tidak lagi mengkritik Dr Zakir Naik selepas gagal memenuhi undangan untuk hadir ke program pendakwah itu di Kelantan, minggu lalu.

Beliau yang juga pengarah program Dr Zakir Naik: The Kelantan Tour 2019, berkata Lim melepaskan peluang untuk menyuarakan kritikannya terhadap Zakir secara berdepan.

"Lim dijemput secara rasmi ke program kemuncak ceramah Zakir pada 9 Ogos lalu, untuk berhujah secara baik dan berdepan dengannya.

"Saya juga memastikan pihak urus setia menyediakan kerusi untuknya di khemah VVIP... Lama kami menanti tetapi Lim tak kunjung tiba. Takut apa YB-ku?" soalnya yang juga anggota parlimen Tumpat dalam kenyataan hari ini.

Undangan Che Abdullah susulan kenyataan Lim yang menyokong saranan penulis Anas Zubedy supaya pendakwah bebas antarabangsa Dr Zakir Naik meninggalkan Malaysia secara sukarela.

Kenyataan itu menerima kritikan sejumlah pihak, antaranya Timbalan Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari yang berkata Lim tidak faham Perlembagaan Persekutuan dan beliau yang sepatutnya meninggalkan Malaysia.

Selain undangan daripada Che Abdullah, Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Ariff Abdullah juga berkata penganjur telah menghantar undangan rasmi kepada Lim selain menyerahkan salinannya ke pejabat DAP Kelantan di Kota Bharu.

Lim sebelum ini mengakui menerima undangan itu tetapi menyifatkan PAS tidak memahami mesej yang ingin disampaikannya.

"Jika Pemuda PAS Kelantan faham kenyataan saya - yang disampaikan dalam bahasa mudah - tentang mengapa saya sokong surat terbuka Anas Zubedy kepada Zakir agar secara sukarela meninggalkan Malaysia, mereka tidak akan membuat undangan itu," katanya.

Zakir yang kini bertaraf penduduk tetap Malaysia sedang berdepan dakwaan pengubahan wang haram bernilai lebih 1.93 bilion rupee (RM115.66 juta) "hasil jenayah di India dan di luar negara".

Akhir bulan lalu, Interpol menolak permohonan kerajaan India untuk memasukkan Zakir dalam notis merahnya, dalam usaha membawanya kembali ke India untuk dibicarakan di mahkamah.


Tiada ulasan: