KOTA BHARU: Ceramah 'Husam Lari dari Debat Baiah' di pekarangan Stadium
Sultan Muhammad IV di sini malam tadi, bertukar kecoh apabila ADUN
Salor itu tiba-tiba muncul di pentas ceramah berkenaan.
Memetik laporan Sinar Harian, Husam yang juga Penasihat Amanah
Kelantan, tiba di ceramah itu kira-kira jam 11 malam ketika Yang
Dipertua PAS Kawasan Ketereh, Wan Ismail Wan Jusoh sedang memberi
ucapan.
Husam dilihat duduk di kerusi barisan belakang atas pentas bersama
beberapa pemimpin PAS lain, dan mendengar ucapan yang 'mengkritik'
dirinya.
Tindakan tersebut telah menimbulkan ketidakselesaan penonton mahupun
pemimpin yang ada di atas pentas itu, sekali gus dilemparkan dengan
kata-kata yang tidak sopan oleh beberapa penyokong yang hadir.
Keriuhan sorakan penyokong juga tidak hanya berhenti di situ apabila
sekali lagi kekecohan timbul semasa Exco Kerajaan Negeri, Datuk
Nasuruddin Daud mula berucap.
Kekecohan tersebut bermula apabila salah seorang penyokong tidak dapat
menahan kemarahan dan datang ke hadapan pentas mencabar bekas Naib
Presiden PAS itu berdebat di hadapan mereka.
Bagaimanapun keadaan kembali tenang tidak lama kemudian apabila Husam dibawa keluar daripada ceramah berkenaan.
Difahamkan, ceramah anjuran PAS itu dibuat bagi memberi penjelasan
mengenai tindakan Husam yang didakwa cuba berdolak dalih dalam
menentukan tarikh sebenar perdebatan itu boleh dilangsungkan.
Dalam pada itu, Husam menerusi Facebooknya berkata, beliau bersedia
berdebat dengan Nasuruddin yang juga ADUN Meranti, pada bila-bila masa.
"Ingatkan malam ini (malam tadi) debat bai'ah akan berlangsung...Malang! Bukan Husam Lari. Husam mari.
"Namun, ia hanya menjadi majlis mempamerkan pimpinan Kerajaan Kelantan
tidak 'gentleman'. Jangkaan saya akan diberi berucap sepatah dua -
meleset.
"Untuk makluman YB Meranti - saya masih bersedia berdebat bila-bila
masa dengan beliau. InsyaAllah saya tidak akan lari. Saya mari,"
tulisnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan