KUALA TERENGGANU: Orang ramai diminta berhenti menyebarkan video yang menunjukkan objek putih di ruang solat di Masjid Jamek Kampung Banggol Peradong, di sini, bagi mengelak kekeliruan dan ketakutan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Banggol Peradong, Zulkifli Mamat, berkata video berdurasi 33 saat itu hanya gurauan namun bertukar serius selepas ia tersebar di media sosial.
Katanya, siasatan mendapati ia dirakam sesetengah pihak dengan niat untuk bergurau dengan jawatankuasa yang ditugaskan membaik pulih kamera litar tertutup (CCTV) di dalam masjid berkenaan.
"Kami baru memasang CCTV dan ada jawatankuasa yang ditugaskan untuk memastikan kelancaran CCTV ini dan mereka memaklumkan membuat rakaman itu dengan niat untuk bergurau.
"Ia mula menimbulkan pelbagai reaksi selepas rakaman itu tular dan jawatankuasa berkenaan juga tidak tahu bagaimana rakaman itu boleh tersebar.
"Bagi pihak pengurusan masjid, saya memohon maaf atas kejadian ini dan harap video sama tidak disebarkan lagi.
"Orang ramai tidak perlu takut untuk menunaikan solat di sini dan kita mengalu-alukan kedatangan jemaah ke masjid ini bagi mengimarahkan rumah ibadat ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial video yang memaparkan imej berwarna putih di ruang solat di masjid berkenaan sehingga menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
No comments:
Post a Comment