Sabtu, 20 November 2021

Situasi Covid-19 belum stabil, dibimbangi meningkat selepas PRN Melaka

Penularan kes Covid-19 dibimbangi meningkat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memandangkan situasi yang masih belum stabil ketika ini.

Kebimbangan itu disuarakan Pengarah Kesihatan Melaka, Dr Rusdi Abd Rahman kerana terdapat petanda kurang baik seperti peningkatan kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 di negeri tersebut yang direkodkan.

“Kebanyakan indikator utama seperti purata kes aktif, kematian dan kadar kes memerlukan rawatan di ICU, menunjukkan pola penurunan, namun Rt Covid-19 mencatat peningkatan kepada 0.97 pada 12 November lalu.

“Situasi ini membimbangkan kerana peningkatan kes baharu dan nilai Rt daripada minggu sebelumnya, menggambarkan potensi penularan Covid-19 kepada masyarakat dan seterusnya risiko pendedahan lebih tinggi untuk dijangkiti virus itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Rusdi memaklumkan dari 7 hingga 13 November lalu, jumlah jangkitan baharu Covid-19 di Melaka mencatat penurunan tujuh peratus daripada 1,400 pada minggu sebelumnya kepada 1,300 kes, dan purata kes aktif pula menurun 8.7 peratus kepada 2,809 kes.

Beliau berkata, kematian akibat Covid-19 pula menurun sebanyak 33 peratus daripada enam kepada empat kes, manakala purata tujuh hari bagi kes memerlukan rawatan di ICU serta alat bantuan pernafasan, masing-masing menurun 11.8 peratus dan 14.3 peratus.

“Namun, kadar insiden purata kes tujuh hari masih tinggi, iaitu 19.9 per 100,000 penduduk pada minggu epidemiologi (ME) ke-45 (7 hingga 13 November lalu).

“Kadar insiden jangkitan Covid-19 Melaka bagi tempoh 14 hari (4 hingga 18 November lalu) ialah 290 per 100,000 penduduk dan menduduki tangga kelima tertinggi dalam kalangan negeri di Malaysia.

“Rt di Melaka menunjukkan pola tidak stabil sepanjang tempoh dua minggu, namun lebih rendah daripada Rt Malaysia,” katanya lagi.

Berhubung kemasukan pesakit ke hospital, Dr Rusdi berkata, hanya tujuh daripada 198 kes yang dimasukkan ke hospital adalah pesakit Covid-19 kategori tiga hingga lima setakat 13 November lalu.

Katanya, jumlah kes aktif yang masuk ke hospital dari ME ke-39 ke ME ke-45 pula menunjukkan pola penurunan, dengan 494 daripada 1,328 kes yang dilaporkan sedang menerima rawatan di fasiliti kesihatan awam dan swasta di Melaka.

“Daripada jumlah itu, 389 pesakit adalah kategori satu dan dua yang tidak dapat menjalani kuarantin di rumah; kategori tiga (31); kategori empat (59) dan kategori lima (15), manakala baki 834 kes kategori satu dan dua sedang menjalani kuarantin kendiri melalui pemantauan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).

“Kapasiti maksimum katil penjagaan kritikal bagi kes COVID-19 di Melaka ialah 90 bagi empat hospital kerajaan dan enam katil di hospital swasta, dengan purata penggunaan katil penjagaan kritikal bagi seminggu adalah pada kadar 23 peratus.

“Bilangan mesin bantu pernafasan ialah 96 unit dan mencukupi buat masa ini,” katanya.

Beliau memaklumkan, Jabatan Kesihatan Melaka sudah memulakan langkah kesiapsiagaan untuk menghadapi kemungkinan peningkatan kes susulan PRN Melaka, antaranya menambah jumlah katil untuk pesakit Covid-19 kepada 721 di Hospital Melaka.

Selain itu, Hospital Melaka juga memiliki fasiliti Hospital Medan MERCY yang boleh merawat 75 pesakit, manakala Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) memiliki 1,351 katil, dengan kadar penggunaan semasa sebanyak 27.4 peratus.

“Pihak Kesihatan Awam menutup kebanyakan Pusat Pemberian Vaksin Awam bagi membolehkan mobilisasi kakitangan kesihatan ke PKRC MITC, Jabatan Kecemasan Hospital Melaka, CAC Covid-19 dan aktiviti saringan kontak kes Covid-19.

“Semua Klinik Kesihatan (KK) juga bersedia untuk menampung pertambahan pesakit jika berlaku peningkatan kes.

“Tujuh KK di Melaka menjalankan waktu operasi secara syif hingga jam 9.30 malam untuk memudahkan pesakit mendapat rawatan,” katanya.

Tiada ulasan: