Wednesday, November 3, 2021

Seorang lagi mangsa nahas di Gerik maut

 Oleh ASLIZA MUSA

ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam nahas dua kereta di Jalan Gerik-Jeli berhampiran R&R Titiwangsa di Gerik, Perak, hari ini. - IHSAN JBPM

GERIK: Seorang lagi mangsa nahas membabitkan dua kereta di Kilometer 64, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli di sini hari ini, disahkan meninggal dunia.

Wanita berusia 30 tahun yang juga pemandu Perodua Axia itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gerik pada pukul 8.38 malam.

Terdahulu, pasangan suami isteri berusia 29 dan 24 tahun menaiki Perodua Myvi maut di tempat kejadian bersama penumpang wanita Perodua Axia berusia 27 tahun.

Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun empat bulan bagaimanapun terselamat.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintenden Azizan Hassan berkata, pihaknya dimaklumkan kemalangan membabitkan dua kenderaan itu pada pukul 4.32 petang.

Katanya, siasatan awal mendapati nahas berlaku ketika Perodua Myvi dalam perjalanan dari arah Jeli menghala Gerik manakala sebuah kereta lagi dari arah Gerik menghala ke Jeli.

“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta jenis Perodua Myvi dipercayai hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan.

“Pada masa sama, kereta Perodua Axia dari arah bertentangan telah melanggar bahagian sebelah kiri Perodua Myvi.

“Akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang Perodua Myvi serta penumpang Perodua Axia cedera parah, maut di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pemandu Perodua Axia dan kanak-kanak lelaki itu cedera dan dihantar ke Hospital Gerik untuk rawatan.

Bagaimanapun, wanita itu meninggal dunia semasa rawatan manakala anak saudaranya pula dirujuk ke Hospital Taiping.

“Kanak-kanak lelaki itu merupakan anak kepada penumpang Perodua Axia dan mengalami kecederaan ringan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE

No comments: