Monday, November 1, 2021

Sanusi dianugerah gelaran ‘Datuk Seri’, ketuai senarai penerima darjah kebesaran Kedah

Muhammad Sanusi Md Noor./ Gambar fail FB UPDA

MENTERI Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor mendahului senarai penerima darjah dan bintang kebesaran sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang ke-79 pada tahun ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, Muhammad Sanusi dianugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Kedah Yang Amat Dihormati (SPMK) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Selain itu, Pengarah Urusan Weststar Holdings Sdn. Bhd., Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim turut dianugerahkan Darjah Seri Setia Diraja Kedah Yang Amat Dihormati (SSDK) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Datuk Asri Hamidon@ Hamidin dikurniakan Darjah Gemilang Seri Mahkota Kedah Yang Amat Dihormati (DGMK) yang membawa gelaran Datuk Wira, katanya.

Beliau berkata, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Abd Rahman dan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Wilayah 2, Laksamana Muda Rusli Ahmad dianugerahkan Darjah Datuk Setia Pahlawan Negeri Kedah Yang Amat Dihormati (DSPK) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan.

Sementara itu, Ammar berkata, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Juhari Bulat dikurniakan darjah Dato’ Setia Sultan Sallehuddin Kedah (DSSS) yang membawa gelaran Datuk bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kebajikan Kedah, Halimaton Shaadiah Saad dan Pengarah Tanah dan Galian Kedah, Mohd. Fauzi Mustaffa.

Beliau berkata, terdapat 15 penerima Darjah Datuk Setia Diraja Kedah (DSDK) yang turut membawa gelaran Datuk, antaranya ialah Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah, Nik Azhan Hakim Nik Mahmood; Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Kedah, Mohd Yusri Md Daud; Pegawai Daerah Kuala Muda, Abdullah Hashim; Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Ahmad Saad@Yahya.

Selain itu, Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan, Dr. Mohd Fikri Ujang; Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU), Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian dan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap.

Dalam pada itu, Ammar berkata tiga penerima Darjah Datuk Setia Pahlawan (DDSP) yang membawa gelaran Datuk ialah bekas Pegawai Memerintah Wisma Transit Kuala Lumpur, Brigadier Jeneral (B) Ahmad Faiezzelan Abdul Karim; Penolong Pengarah EIC Cawangan Khas E, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Dr. Lim Joo Soon dan Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Adwin Galan Anak Teruki.

Beliau berkata, kesemua gelaran itu boleh diguna pakai secara rasmi bermula hari ini.

Katanya, Sultan Sallehuddin turut berkenan menganugerahkan Bintang-Bintang dan Pelantikan Ahli Jaksa Pendamai kepada 37 individu iaitu dua orang dianugerahkan Setia Mahkota Kedah (SMK) manakala 33 orang menerima bintang Setia Diraja Kedah (SDK) dan dua penerima diperkenan dengan Pelantikan Jaksa Pendamai (JP).

Ammar berkata, istiadat penganugerahan darjah serta bintang kebesaran itu akan diadakan pada tahun depan. – BERNAMA

No comments: