Ahad, 21 November 2021

Rentas sempadan Malaysia-Singapura dilaksana mengikut kuota harian

 Oleh ABU UBAIDILAH RAHMAN

MALAYSIA dan Singapura bersetuju bahawa pembukaan sempadan akan dilakukan secara beransur-ansur dan sistematik bagi membolehkan aktiviti rentas sempadan dilaksanakan dalam keadaan paling selamat.

Justeru kata Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad, pendekatan yang bersesuaian adalah dengan menetapkan kuota harian bagi aktiviti rentas sempadan.

“Bagi memastikan pelaksanaan aktiviti ini tidak menjejaskan kepentingan kesihatan awam, ujian saringan Covid-19 yang boleh memberikan keputusan pada kadar segera serta tidak membebankan warganegara Malaysia akan dilaksanakan.

“Selain itu, pelbagai isu perlu diberikan penekanan dan perhatian termasuk pengiktirafan sijil vaksinasi di antara dua buah negara.

“Bagitu juga kapasiti semasa tambak (Causeway) dan juga Second Link, kebenaran mengakses maklumat status vaksinasi oleh Malaysia dan Singapura, perjalanan bebas kuarantin dan pematuhan SOP kesihatan dari semasa ke semasa perli diberi perhatian,” katanya.

Hasni Mohammad

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata demikian dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.

Hasni menjawab soalan Liow Cai Tung (DAP-Johor Jaya) berkenaan bila sempadan Malaysia-Singapura akan dibuka sepenuhnya.

Katanya, walaupun pembukaan sempadan negara adalah tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan kerana melibatkan isu di antara dua buah negara, kerajaan negeri sentiasa berusaha memastikan pergerakan rentas sempadan dapat direalisasikan.

Jelasnya, ini terutamanya untuk rakyat Malaysia yang berulang-alik ke republik tersebut dan untuk itu, beberapa pendekatan telah dilaksanakan kerajaan negeri berhubung perkara berkenaan.

“Kerajaan Negeri Johor sentiasa dilibatkan secara langsung di dalam usaha pembukaan sempadan Malaysia dan Singapura.

“Pada 27 September 2021, Kerajaan Negeri Johor telah membentangkan cadangan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang terkini bagi tujuan ulang-alik antara Malaysia dan Singapura dalam Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal Pengurusan Pandemik Bilangan 37/2021,” katanya.

Menurutnya, satu pasukan petugas khas juga telah ditubuhkan di bawah Jawatankuasa Pembukaan Sempadan yang terdiri daripada pelbagai agensi-agensi Persekutuan dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor.

Pasukan itu katanya, akan memberi tumpuan kepada usaha pembukaan sempadan darat bagi memudahkan urusan pergerakan warganegara khususnya pekerja antara kedua-dua negara Malaysia dan Singapura.

Tiada ulasan: