Isnin, 15 November 2021

PH sudah, BN pun sudah, PN sahaja yang belum mentadbir Melaka (I)

Tok Akhi

Kata penulis: Apa kata kali ini beri peluang kepada PN pula mentadbir Melaka. Cubalah untuk setahun lebih sahaja, bukan lama pun sebelum menjelangnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang selewat-lewatnya perlu diadakan pada 2023. Jika selepas itu tidak puas hati, buat keputusan baharu ketika PRU15. Tapi kalau OK, teruskan dengan PN.

Permulaan kisah…

Setelah Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selesai pada 2018, Melaka ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) dengan Ketua Menterinya daripada parti AMANAH, manakala barisan Ahli Exconya pula terdiri daripada wakil rakyat DAP dan PKR.

Demikian juga pada peringkat Pusat apabila PH mentadbir negara dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dari parti Bersatu ketika itu menjadi Perdana Menteri (PM) buat kali kedua, sementara anggota Kabinetnya terdiri daripada wakil rakyat DAP dan PKR.

Pada Mac 2020, Kerajaan Persekutuan tumbang apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin membawa Bersatu keluar daripada menyokong PH setelah menyedari keberadaan DAP dalam kerajaan mendatangkan ‘bahaya’ kepada negara dan bangsa Melayu.

Daripada ‘Langkah Sheraton’ yang disertai Bersatu, PAS, UMNO dan beberapa Ahli Parlimen (MP) Bebas, maka terbentuklah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 1 Mac 2020 apabila Muhyiddin mengangkat sumpah jawatan PM kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

Ringkasnya, barisan Kabinet Muhyiddin terdiri daripada MP parti komponen PN, Barisan Nasional (BN) serta individu yang di luar parti politik dan dilantik sebagai Senator.

Selang beberapa hari, Kerajaan PH Melaka juga tumbang, susulan tindakan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan mereka kepada Ketua Menteri Adly Zahari.

Susulan itu, Kerajaan Melaka diterajui UMNO dibentuk pada 9 Mac 2020 apabila Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Melaka Ke-12, di hadapan Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam.

Mendapat dukungan gabungan PN iaitu Bersatu dan PAS, UMNO terus mentadbir Melaka dengan Ahli Exconya terdiri daripada wakil rakyat pelbagai parti dan ADUN Bebas.

Pengkhianatan UMNO dan pengkhianat dalam UMNO.

Dalam sejarah UMNO, pengkhianatan kerap kali berlaku. Sejarah juga membukti kemuncaknya pada 4 Februari 1988 apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan parti itu adalah sebuah pertubuhan haram.

PM yang juga Presiden UMNO ketika itu, Dr Mahathir dan Setiausaha Agung UMNO pada masa itu Tan Sri Sanusi Junid, menganggap kumpulan 11 individu atau UMNO 11 yang membawa kes ke mahkamah, sebagai pengkhianat yang bertanggungjawab mengharamkan parti.

Pengkhianatan sememangnya sinonim dengan UMNO. Pengkhianat yang inginkan kuasa dan mementingkan diri sendiri sentiasa bersembunyi di dalamnya. Hawau sungguh – gurauan orang Melaka.

Jika dulu 11 ahli UMNO membawa kes ke mahkamah bagi mengisytiharkan Perhimpunan Agung pada April 1987 sebagai tidak sah, kini UMNO 15 atau 15 MP parti itu diketuai Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, pula bertindak khianat sehingga menyaksikan kerajaan PN tumbang apabila Muhyiddin dipaksa meletak jawatan PM pada 16 Ogos lalu.

Sejak lebih 60 tahun UMNO memerintah negara, pelbagai ragam pengkhianatan berlaku dalam kepimpinannya. Tikam menikam belakang kerap berlaku. Depan baik, di belakang, pisau diasah tajam bersedia untuk menikam mangsa.

Pengkhianatan terbesar kepada rakyat dan negara berlaku ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi Presiden UMNO dan PM. Amanah yang diberikan rakyat kepada UMNO untuk mentadbir negara, dikhianati dengan menyeleweng berbilion-bilion ringgit wang negara melalui 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Memang orang UMNO bijak-bijak belaka dalam mentadbir negara, hinggakan dengan kebijaksanaan mereka skandal 1MDB sejak 2011 dapat mereka sembunyikan daripada rakyat Malaysia sehingga terdedah pada 2015.

Malaysia dimalukan di persada dunia apabila ‘kehilangan’ wang 1MDB, yang kemudiannya berbilion-bilion ringgit ditemui dalam akaun Najib, sehingga menjadi skandal kewangan terbesar dalam sejarah dunia. Siapa? Najib! Parti mana? UMNO! Itulah hakikat sejarah.

Namun, negara kini kembali diperintah UMNO apabila Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah jawatan PM pada 21 Ogos, dengan mengekalkan hampir 100 peratus barisan Kabinet Muhyiddin.

Pelantikan Ismail Sabri sebagai PM ke-sembilan mendapat sokongan kuat daripada PN, walaupun sebelum itu gabungan parti – Bersatu, PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Gerakan – telah dikhianati oleh UMNO.

UMNO yang kalah teruk dalam PRU14 akibat skandal 1MDB yang melibatkan siapa? Najib! Parti mana? UMNO! ketika itu, bagaimanapun menggunakan tipu helah licik hingga kini berjaya kembali mentadbir Malaysia.

Namun, PN, khususnya Bersatu dan PAS, kekal memberi sokongan kepada UMNO sama ada pada peringkat Pusat atau negeri yang ditadbir BN.

Sedang Muhyiddin sebelum meletak jawatan boleh sahaja meminta Parlimen dibubarkan dan PRU15 diadakan, tetapi beliau tidak berbuat demikian kerana mementingkan keselamatan rakyat, tatkala negara sedang berdepan cabaran pandemik Covid-19.

Oleh itu elok sangatlah pengundi Melaka yang berbilang bangsa memikirkan semula sejarah pentadbiran PH dan UMNO/BN sama ada di peringkat Pusat atau Negeri. BN/UMNO sudah! PH pun sudah! BN/UMNO sekali lagi pun sudah! Hanya PN sahaja yang belum. Apa kata cuba PN pula! AGENDA DAILY

Bersambung…

(*) Tok Akhi -Pemerhati Politik Kampung

Tiada ulasan: