Sabtu, 20 November 2021

PH, BN dah tadbir Melaka: PN belum (Rakyat Melaka tak rindu kleptokrat)

Kata penulis: Rakyat Melaka mesti bangga untuk menempa sejarah memiliki Ketua Menteri (KM) wanita pertama di Malaysia.

Cubalah! Bukan lama pun sebelum menjelangnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang selewat-lewatnya perlu diadakan pada 2023. Jika selepas itu tidak puas hati, buat keputusan baharu ketika PRU15. Tapi kalau OK, teruskan dengan PN.

Sambungan kisah… akhir.

Penulis percaya rakyat Melaka masih ingat bagaimana kerajaan kleptokrasi memerintah negara dan melarikan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke luar negara? Siapa yang terlibat? Dan kesudahannya ternyata rakyat Malaysia menghukum Barisan Nasional (BN) dan UMNO kerana 1MDB pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Takkan lah pula rakyat Melaka mahu menunjukkan kepada seluruh negara bahawa mereka rindu untuk duduk semula di bawah kerajaan kleptokrasi?

Walaupun, kerajaan kleptokrasi sudah tiada tetapi kena ingat bahawa orangnya tetap sama dan masih berkeliaran di seluruh ceruk Melaka menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) esok.

Sedangkan di depan mata Perikatan Nasional (PN) telah menawarkan sesuatu yang berbeza, sesuai dengan Melaka Negeri Bersejarah – pencalonan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai wanita pertama akan menjawat jawatan KM, jika PN menang.

Penulis teringat artikel yang disiarkan Agenda Daily sebelum ini yang memberi pesan supaya rakyat tidak percaya apa yang dikatakan oleh seorang bekas Perdana Menteri (PM). Walaupun tulisan dalam artikel itu tidak menyatakan siapakah PM itu, tapi kita percaya ia ditujukan kepada Datuk Seri Najib Razak.

Kata penulis itu:

“Makanya jangan la dipercayakan ex-PM kita yang selalu angkat bakul sendiri. Banyak yang propa dari yang benar. Yang kita hendak negara kembali ke zaman bilamana Malaysia digelar Tiger of Asia.

“Takde maknanya kita rindu zaman BN dia, bila Malaysia digelar Kerajaan Kleptokrasi terteruk dalam sejarah dunia.” Artikel berkaitan

Mengikut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), istilah kleptokrasi terdiri daripada perkataan ‘klepto’ iaitu pencuri dan ‘cracy’ yang bermaksud pemerintahan. Boleh rujuk DBP untuk meklumat lanjut.

Dalam erti kata lain, kekuasaan yang dimiliki oleh kerajaan ditukar dengan sogokan dan wang demi memperoleh keuntungan dan kekayaan peribadi pemerintah. Fungsi kerajaan telah bertukar daripada memberi perkhidmatan kepada rakyat kepada menjalankan perniagaan demi kepentingan peribadi pemerintah.

Hal ini mengakibatkan sumber-sumber awam dilarikan oleh individu yang dinamakan kleptokrat melalui amalan rasuah untuk kepentingan peribadi. Namun, secara umumnya kleptokrasi dikaitkan dengan sebuah kerajaan yang korup dan berlaku politik wang. – Rujuk DBP

Istilah itu tercetus di Malaysia tatkala bekas PM, Tun Dr Mahathir Mohamad mula menyerang pentadbiran Najib pada 2015 susulan terbongkarnya skandal kewangan terbesar yang menjadi sejarah dunia melibatkan 1MDB.

Dr Mahathir turut mendapat maklumat daripada adik Najib sendiri, Tan Sri Nazir Razak. Ini diceritakan oleh Nazir dalam memoirnya ‘What’s in a Name’. Berita berkaitan

Rasuah, penyelewengan, pengubahan wang haram melibatkan berbilion-bilion ringgit wang 1MDB berlaku pada zaman BN memerintah di bawah Najib. Timbalan Perdana Menteri (TPM) ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat oleh Najib dan UMNO kerana mempersoalkan wang 1MDB itu.

Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah yang ketika itu menjadi Menteri Kewangan II awal-awal lagi meletak jawatan, ‘lari’ setelah mengetahui skandal 1MDB melibatkan ‘bossku’.

Kawalan Najib ke atas 1MDB tiada hadnya kerana beliau adalah Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan dan pada masa sama Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

Penulis teringat kata-kata Presiden AMANAH, Mohamad Sabu ketika kempen PRU14 lalu:

“Pengerusi 1MDB Najib, Menteri Kewangan Najib, Perdana Menteri Najib. Bila duit 1MDB tak cukup sebab dah belanja mewah semua, Najib minta kepada Najib.

“Najib kata nanti, aku bincang dulu dengan perdana menteri – Najib. Bila Najib berbincang dengan Najib, luluslah wang rakyat kepada Najib.”

Akhirnya, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, ke atas Najib setelah didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Najib kini menghadapi puluhan lagi tuduhan jenayah, termasuk rasuah dan pengubahan wang haram.

Rakan baiknya Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga tidak terlepas daripada puluhan tuduhan jenayah rasuah dan pengubahan wang haram di dua mahkamah di Kuala Lumpur dan Shah Alam.

Nampaknya, itulah permainan sebenar pemimpin UMNO yang mengaut kekayaan, tetapi dalam masa sama meuar-uarkan bantuan kepada rakyat. Rakyat diberi seringgit, masuk poket mereka 10 ringgit.

Rakyat, khususnya pemilih di Melaka yang akan membuang undi esok tidak sewajarnya lupa sejarah. Jangan diulangi memilih Kerajaan Kleptokrasi BN dahulu.

Tawaran diketengahkan PN lebih baik. Lagi pula BN dan PH sudah cuba memerintah Melaka tetapi kedua-duanya gagal kerana percakaran sesama sendiri pemimpinnya.

Seperti kata Mas Ermieyati, pencalonannya bagi kerusi KM oleh PN adalah sebagai satu pengiktirafan kepada wanita bukan hanya wanita daripada PN tetapi kepada wanita seluruh negara bahawa hari ini tidak ada apa yang mustahil. AGENDA DAILY

Tok Akhi
Pemerhati Politik Kampung

Tiada ulasan: