Isnin, 22 November 2021

Perisikan Malaysia lemah: Siasat jika ada kebocoran

Siti Hafidah

Pandang serius kerana babitkan isu keselamatan

BANGI – Laporan mengenai kelemahan Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO) baru-baru ini menimbulkan rasa resah dalam kalangan rakyat.

Kedudukan teruk perisikan Malaysia itu didakwa ada kaitan ‘campur tangan’ ketara ke atas MEIO ketika era kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas menang Pilihan Raya Umum pada 2018.

MEIO adalah badan yang menggerakkan misi sulit bagi melindungi keselamatan negara, dianggotai individu dari pelbagai latar belakang dan kepakaran, antaranya dalam bidang teknologi maklumat, keselamatan dan bencana serta urusan berkaitan diplomasi atau rundingan.

Sebelum ini Utusan melaporkan, kelemahan MEIO yang ‘habis diubah’ oleh pentadbiran terdahulu kini menempatkan negara ini dalam ancaman risiko bahaya besar.

Ini terbukti apabila Indeks Integriti Pertahanan Kerajaan (GDI) meletakkan angka sifar iaitu kritikal yang paling teruk dalam penilaian risiko perkhidmatan perisikan untuk Malaysia.

Indeks bagi tahun lalu itu diterbitkan badan penyelidikan ketelusan antarabangsa, Transparency International (TI) jelas mendedahkan aspek perisikan Malaysia amat lemah.

Ia sekali gus menjadikan negara ini hanya memperoleh markah keseluruhan 45 atau D yang bermaksud risiko tinggi dalam GDI bersama-sama dengan sejumlah 16 negara lain di dunia.

Bimbang dengan perkembangan itu, pemerhati politik, Ustaz Haji Omar Kassim menggesa siasatan dijalankan daripada pihak tertentu.

“Jika ada kebocoran semasa pentadbiran PH selepas menang pilihan raya 2018, siasatan perlu dijalankan dengan telus dan teliti khususnya terhadap Menteri dan Timbalan Menteri terlibat,” katanya.

Pada masa sama, beliau menggesa rakyat memandang serius mengenai laporan tersebut memandangkan ia membabitkan isu keselamatan.

“Rakyat wajar berasa gusar dan bimbang dengan pendedahan Utusan.

“Perkara berkaitan keselamatan ini tidak boleh diambil mudah,” katanya

Tiada ulasan: