Wednesday, November 3, 2021

Peluang pendidikan diberikan kepada semua kanak-kanak, banduan muda

 Oleh MOHD HUSNI MOHD NOOR

Peluang pendidikan harus diberikan kepada kanak-kanak- GAMBAR HIASAN

PUTRAJAYA : Peluang pendidikan harus diberikan kepada semua kanak-kanak di negara ini termasuk di sekolah pemulihan dan banduan muda yang sedang menjalani hukuman.

Itu antara perkara dibincangkan pada mesyuarat Majlis Sosial Negara Bilangan 2 Tahun 2021 yang diadakan secara sidang video di Parlimen, hari ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu turut dihadiri barisan menteri, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam serta pegawai-pegawai kanan kementerian, jabatan dan zgensi yang terlibat.

Majlis Sosial Negara menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, mesyuarat juga bersetuju untuk tindakan yang berkaitan dengan pindaan Seksyen 77 (3) Akta Kanak-kanak 2001 dilaksanakan.

Menurutnya, pindaan itu penting bagi membolehkan lebih ramai banduan muda di Sekolah Henry Gurney mendapat peluang pembelajaran yang lebih holistik.

“Pada masa sama, isu penguatkuasaan jenayah terhadap kanak-kanak di media sosial turut mendapat perhatian ahli majlis untuk terus diperkasakan,” katanya.

Pada mesyuarat sama, perdana menteri turut menyentuh mengenai cabaran yang dihadapi oleh rakyat dalam memerangi pandemik Covid-19 dan mahu agenda Keluarga Malaysia terus menjadi fokus utama kerajaan.

Selain itu, majlis juga bersetuju agar satu undang-undang yang mewajibkan (mandatory) penyimpanan data subscriber yang seragam oleh Internet Service Provider (ISP) dibangunkan.

Dalam pada itu, ahli majlis turut dimaklumkan berkaitan inisiatif yang diambil oleh kerajaan dalam memastikan penularan pandemik Covid-19 dapat dikurangkan dalam kalangan pekerja asing.

Turut di bawa dalam mesyuarat adalah persediaan Malaysia ke arah Negara Tua pada tahun 2030, berdasarkan unjuran peratusan penduduk yang berumur 60 tahun dan ke atas yang akan mencecah 15.3 peratus daripada keseluruhan bilangan penduduk.

Sementara itu, Perdana Menteri juga berharap agar isu-isu sosial dapat dibincangkan dalam platform ini (Majlis Sosial Negara) secara aktif dan berkesan.

Beliau juga mempelawa penyertaan daripada semua pihak termasuk ahli akademik dan pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membentangkan cadangan-cadangan yang bernas dalam menangani masalah sosial ke arah pembangunan sosial negara yang lebih sejahtera.

Majlis Sosial Negara ditubuhkan sebagai jentera pelaksana Dasar Sosial Negara yang merupakan dasar payung merangkumi falsafah dan pelbagai dasar pembangunan sosial negara.-UTUSAN ONLINE

No comments: