Monday, November 1, 2021

Malaysia bakal menjadi hab pengeluaran vaksin -Ismail Sabri

Oleh AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI

Ismail Sabri berucap pada Majlis Pelancaran PPVN dan MGVI hari ini.

KAJANG – Malaysia akan mengeluarkan vaksin sendiri dan bakal menjadi hab pengeluar vaksin pada masa hadapan menerusi Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) yang dilancarkan hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau yakin perkara tersebut dapat direalisasikan apabila Institut Genom Malaysia (MGI) kini dinaiktaraf kepada Institut Genom & Vaksin Malaysia atau Malaysia Genome & Vaccine Institute (MGVI).

Beliau berkata, naik taraf MGVI ini bersesuaian dengan skop MGI yang memberi tumpuan kepada penyelidikan genom dan biologi molekular dalam usaha penghasilan vaksin.

Jelas Ismail Sabri, penubuhan MGVI juga dapat memberi kesan positif kepada negara daripada sudut ekonomi, sosial dan teknologi sekali gus menyumbang kepada kestabilan ekonomi kerana tiada kebergantungan kepada sumber bekalan dari luar.

“Melalui pelaksanaan PPVN dan penubuhan MGVI, Malaysia mampu mencorak laluan dalam mengeluarkan produk vaksin sendiri yang berkualiti, berkesan dan selamat mengikut syarat yang ditetapkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Selain itu, ia juga sekali gus menjadi hab pengeluar vaksin dan meningkatkan keyakinan terhadap penggunaan vaksin,”katanya di ketika berucap pada Majlis Pelancaran PPVN dan MGVI di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr. Adham Baba dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, melalui pelaksanaan PPVN dan penubuhan MGVI itu juga, modal insan berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang penyelidikan terutamanya yang berkaitan dengan kesihatan dan vaksin akan dapat dilahirkan.

“Lebih banyak peluang pekerjaan akan dapat diwujudkan untuk Keluarga Malaysia
sekaligus membantu meningkatkan jumlah tenaga pekerja mahir dan meningkatkan taraf hidup serta kesihatan rakyat.

“Walaupun pembangunan R&D dan penghasilan vaksin ini merupakan suatu pelaburan yang tinggi, tetapi ia berpotensi
memberikan pulangan jangka panjang buat Keluarga Malaysia melalui penjimatan kos merawat penyakit, selain membawa pelaburan syarikat multinasional ke Malaysia,”ujarnya.

Dalam pada itu Ismail Sabri menjelaskan, PPVN tidak akan tertumpu hanya pada vaksin Covid-19 semata-mata, tetapi ia diperluaskan juga kepada vaksin bagi penyakit-penyakit lain antaranya pembangunan vaksin untuk kanser kepala dan leher (head and neck) oleh Pusat Penyelidikan Kanser.-K! ONLINE

No comments: