Ahad, 14 November 2021

'Langkah proaktif buat semua calon'

BH ONLINE
Bendera parti bertanding memenuhi setiap ceruk kawasan menjelang PRN Melaka, 20 November ini. - NSTP/ASYRAF HAMZAH
Bendera parti bertanding memenuhi setiap ceruk kawasan menjelang PRN Melaka, 20 November ini. - NSTP/ASYRAF HAMZAH

MELAKA: Satu langkah berani, proaktif dan tepat pada masanya.

Demikian reaksi rata-rata calon apabila diminta mengulas pengumuman Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, membenarkan poster dan biodata calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) bermula esok.

Mengambil kira kesulitan kempen dan pengundi yang kurang mengenali calon yang bertanding di kawasan masing-masing, mereka menganggap langkah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) itu, sebagai terbaik dan adil buat semua calon.

Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata langkah KKMM itu adalah sesuatu yang proaktif, terutama dalam keadaan tidak boleh berkempen secara fizikal.

"Satu pembaharuan yang sangat baik dan tahniah kepada KKMM untuk langkah yang sangat proaktif dalam memberi peluang kepada semua calon.

"Ini juga adalah ruang untuk kita mengamalkan demokrasi dan memorandum yang ditandatangani dulu.

"Takkan kita nak tengok memorandum itu setakat di Dewan Rakyat. Ini satu permulaan yang sangat baik," katanya ketika dihubungi BERNAMA.

Calon Bebas DUN Telok Mas, Muhammad Ariff Adly Mohammad, menyifatkan langkah itu tepat pada waktunya bagi mempromosikan calon Bebas di media arus perdana menjelang hari mengundian 20 November ini.

"Walaupun kami (calon) ada media sendiri, ia tidak mencukupi dan meluas. Jadi, bila media arus perdana seperti RTM menyiarkan kami, secara tidak langsung kami ini akan dikenali terutama di Melaka.

"Lebih utama ketika ini, masyarakat tidak cenderung keluar mengundi. Bila mereka lihat di RTM dan dapat maklumat tepat, potensi untuk mereka keluar lebih besar," katanya.

Bagi calon PH DUN Durian Tunggal Mohd Sofi Wahab, langkah itu amat baik dan semestinya mendapat sokongan penuh.

"Ia akan memberi peluang kepada rakyat negeri Melaka mengenali calon bertanding kerana calon mempunyai keterbatasan bertemu pengundi kerana SOP (prosedur operasi standard) yang ketat.

"Ini terutama calon muka baharu, rakyat akan dapat mengetahui biodata, latar belakang pendidikan dan pengalaman kerja mereka," katanya.

Calon Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) DUN Duyong, Mohd Faizal Amzah, berharap kebenaran itu menyeluruh dan adil untuk semua parti yang bertanding.

"Sudah tentu kita bersetuju, apatah lagi untuk calon muka baharu seperti saya, ia pasti akan membantu saya mendekati pengundi, kerana SOP yang digariskan sekarang amat ketat sehingga sukar untuk kita berkempen bertemu rakyat," katanya.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata kerajaan membenarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk menyiarkan poster dan biodata calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bermula esok.

Annuar berkata, penyiaran poster dan biodata calon itu akan dilakukan sekerap mungkin, adil dan saksama, berikutan SOP yang ketat pada PRN berkenaan. – BERNAMA

Tiada ulasan: