Tuesday, November 2, 2021

Jalan sesak seluruh KL akibat banjir kilat

 Oleh NOR AZIHAN BINTI MD. GHAZALI

Keadaan laluan utama yang terjejas akibat banjir kilat yang dikongsi di laman sosial LLM.

KUALA LUMPUR – Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) melaporkan beberapa laluan trafik sesak berikutan kejadian banjir kilat selepas hujan lebat berterusan sejak pukul 5 petang tadi di sekitar ibu negara.

LLM melalui ciapan di laman Twitternya memaklumkan, berlaku banjir kilat di kilometer (km) 305.4 di kedua-dua arah (Sungai Besi-Universiti Putra Malaysia (UPM) dan UPM-Sungai Besi).

“Semua lorong arah selatan dan lorong kanan arah utara terhalang menyebabkan aliran trafik sesak menghampiri lokasi,” ujarnya sebentar tadi.

Sementara itu, Pusat Pengurusan Pengangkutan (ITIS) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi laman Facebook memaklumkan, laluan yang terjejas adalah Lebuh raya Sultan Iskandar, Jalan Klang Lama, Jalan Genting Klang, Jalan Istana, Jalan Kinabalu dan Jalan Kuching.

“Banjir kilat juga dilaporkan berlaku di hadapan Astro menghala Bulatan Lumba Kuda mengakibatkan kesesakan di Lebuhraya Bukit Jalil apabila hanya satu lorong dibuka.

“Kejadian sama dilaporkan berlaku di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban apabila air bertakung di susur Bukit Jalil dan hanya satu lorong kanan boleh dilalui kenderaan,” ujarnya.

Jelasnya, terdapat pokok tumbang dari arah Bulatan Lumba Kuda yang menyebabkan lorong kiri terhalang. – K! ONLINE.

No comments: