Sabtu, 20 November 2021

Hari penentu, mahukah rakyat Melaka kekal bersama PH, BN yang gila kuasa?


Tidak ada bezanya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang gila berebut kuasa sehingga menjadi puncanya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka terpaksa diadakan, hari ini bakal menentukan hala tuju politik di Melaka.

Blok pembangkang, PH yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim yang gila mahu menjadi Perdana Menteri (PM) sementara blok BN pula gila mahu menjadi dominan sama ada di peringkat pusat mahu pun negeri.

Hasil kegilaan Anwar bersama anak muridnya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, negara kucar-kacir angkara komplot mahu melepaskan tengkuk masing-masing.

Episod PRN Melaka adalah manifestasi yang jelas bagaimana virus gila berebut kuasa sudah melarat ke peringkat kerajaan negeri, ia bermula dengan percaturan politik Anwar dengan Zahid yang menjalinkan pakatan sulit sejak April lalu (bukti klip video tular).

Kejayaan Anwar selepas kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dijatuhkan adalah dinaikkan taraf setara dengan menteri selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri daripada UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.’

Untuk rekod, kerajaan pimpinan Muhyiddin jatuh selepas 15 Ahli Parlimen diketuai Zahid menarik sokongan terhadapnya sehingga hilang majoriti.

Sememangnya yang jelas mendapat manfaat paling banyak selepas kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah Anwar sendiri kerana kini sudah setara dengan menteri selepas dinaik taraf oleh kerajaan Ismail Sabri.

Turut mendapat tempias manfaat adalah kumpulan kluster mahkamah, khususnya Datuk Seri Najib Razak dan Zahid yang menerima pelbagai layanan keistimewaan walaupun diketahui umum berdepan pelbagai pertuduhan kes di mahkamah.

Semua ini berpunca dari Anwar yang gila mahu jadi PM, sanggup menjalinkan pakatan dengan Zahid, bahkan sumber Agenda Daily turut memberitahu Najib juga pada suatu ketika sebelum ini sangat rapat dengan Anwar dan sering berhubungan antara satu sama lain.

Berbalik kepada PRN Melaka, penyakit sama sebenarnya sudah berebak dan penyebar utama virus gila berebut kuasa adalah Anwar.

Tidak dapat disembunyikan lagi bahawa punca krisis di Melaka juga adalah berpunca daripada Presiden PKR itu apabila bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Datuk Seri Idris Haron seakan hilang pedoman kerana terikut-ikut cakap Anwar dan menarik sokongan terhadap kerajaan UMNO sendiri.

Untuk rekod, Idris bersama tiga lagi bekas ADUN menarik sokongan terhadap kerajaan dipimpin Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang juga daripada UMNO.

Terbukti Anwar sebenarnya berpakat dengan Idris walaupun pada awalnya cuba menafikan, malah Anwar juga mempertahankan langkah PKR meletak Idris untuk bertanding dalam PRN kali ini atas tiket PKR sehingga bergaduh dengan DAP.

Dalam kemelut politik ini, rakyat Melaka adalah mangsa kepada permainan politik Anwar yang menjadi cikug kepada Zahid dan Najib, tidak cukup bermain politik di peringkat pusat dan kini mereka mahu ia merebak ke peringkat negeri pula.

Pengundi Melaka memainkan peranan yang penting untuk mengelak negara terjerat dalam satu lagi krisis politik di peringkat pusat, jika mereka memilih BN berkemungkinan satu lagi bahana besar akan dihadapi negara dan bakal mengundang ancaman penularan Covid-19 secara besar-besaran selepas ini sekiranya Pilihan Raya Umum diadakan.

Krisis politik Melaka boleh dijadikan satu pengajaran kepada rakyat kerana ia secara jelas menunjukkan pemimpin UMNO mahupun PH yang diketuai Anwar tidak menghiraukan keselamatan dan nyawa rakyat, bagi mereka perebutan kuasa sesama sendiri adalah lebih penting daripada rakyat.

Oleh itu, PRN Melaka ini sangat penting buat rakyat Melaka untuk memilih parti yang terbaik untuk memimpin kerajaan negeri dan bukannya memilih sebuah parti yang sibuk berebut kuasa sehingga mengabaikan kepentingan rakyat.

Jika pengundi Melaka memilih BN, langkah tersebut tidak akan mengubah apa-apa sebaliknya mengundang satu lagi musibah apabila PRU pula terpaksa diadakan.

Jika memilih PH, pengundi Melaka akan dilihat cenderung untuk menyokong sebuah fahaman politik baharu iaitu ‘katak berprinsip’.

Jika memilih Perikatan Nasional (PN), rakyat Melaka berpeluang melakar sejarah untuk melantik seorang KM wanita pertama.

Terpulang kepada pengundi untuk menentukan pilihan masing-masing, bagaimanapun adalah sangat diharapkan mereka memilih parti yang kurang membawa mudarat daripada memilih parti yang sememangnya sarat dengan pemimpin bermasalah dan terpalit dengan pelbagai kontroversi.

Tiada ulasan: