Khamis, 18 November 2021

Dua juruterbang Hawk sempat guna kerusi lenting sebelum pesawat jatuh


Polis Pulau Pinang mengesahkan dua juruterbang BAE Hawk 108 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sempat menggunakan kerusi lenting sebelum pesawat itu terhempas malam 16 November lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata bagaimanapun, seorang daripadanya meninggal dunia di tempat kejadian akibat terhempas, manakala seorang lagi selamat dan dirawat di Hospital Seberang Jaya.

Katanya siasatan awal polis mendapati kedua-dua juruterbang berkenaan berlepas dari Pangkalan Udara Butterworth bagi sesi latihan penerbangan malam yang berlangsung selama sejam sebelum terhempas.

Menurutnya, pihak polis menerima maklumat sebuah pesawat terhempas di Pangkalan Udara TUDM Butterworth yang melibatkan dua mangsa kira-kira jam 11.35 malam 16 November lalu.

“Pada jam 10.07 malam pesawat tersebut dilaporkan terhempas di atas lapangan terbang Pangkalan Udara Butterworth dan menyebabkan letupan.

“Seorang juruterbang meninggal dunia di tempat kejadian dan seorang lagi menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shuhaily berkata mangsa yang meninggal dunia telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang dan bedah siasat dilakukan pada jam 10 pagi 17 November 2021.

“Punca kematian adalah disebabkan ‘multiple injuries consistent with air crash’,” katanya sambil menjelaskan keterangan seorang lagi juruterbang belum diperoleh.

Beliau berkata polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut dan siasatan masih dijalankan.

Dalam nahas itu, Kapten Mohamad Affendi Bustamy terkorban, manakala Mejar Mohd Fareez Omar, selamat dan dirawat di hospital.

Tiada ulasan: