Tuesday, November 2, 2021

Bayar deposit ‘tuan rumah’ lesap, awas kes scam rumah sewa makin menjadi-jadi

KEBELAKANGAN ini banyak pula kes tipu rumah sewa. Bayar deposit, kemudian ‘tuan rumah’ hilang.

Lebih kasihan, penipuan ini tak kira mangsa. Pelajar yang mencari rumah sewa selepas institusi pengajian tinggi (IPT) dibuka semula pun turut jadi mangsa.

Terbaru di Jitra, Kedah melibatkan pelajar berusia 19 tahun yang kerugian RM1,400.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Elias Omar, individu yang mendakwa pemilik rumah lesap dan gagal dihubungi setelah pelajar berkenaan membayar deposit.

“Pelajar itu melihat iklan sewaan rumah sewaktu melayari Facebook pada September lepas daripada pemilik akaun Facebook ‘Zhafri Muhammad’.

“Mangsa mahu menyewa rumah terbabit untuk diduduki bersama rakan-rakannya sebelum pengajian bermula awal bulan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Elias, selepas berhubung dengan suspek yang mendakwa sebagai pemilik rumah, mereka bertemu di rumah sewa itu.

Jelas beliau, pelajar tersebut bersetuju untuk menyewa dengan kadar sewaan RM600 sebulan serta wang deposit RM1,400, yang dipindahkan ke dalam akaun yang diberikan suspek pada awal bulan lepas.

“Mangsa menyedari ditipu apabila suspek yang berjanji akan menyerahkan kunci rumah kepadanya pada penghujung Oktober tidak berbuat demikian, malah nombor telefon mangsa turut disekat suspek,” ujarnya.

Menurut Elias setakat ini terdapat enam laporan polis berkaitan penipuan sewa rumah di negeri Kedah dan dua kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Justeru, pihaknya menasihatkan orang ramai agar menyemak kesahihan maklumat berkaitan hal sewa rumah sebelum membuat sebarang transaksi.

Baru-baru ini, Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut menyiarkan poster mengingatkan orang ramai kes penipuan rumah sewa.

Antara yang sering dilaporkan ialah mangsa didesak membayar deposit bagi mengelak rumah disewa kepada orang lain.

Setelah pembayaran dibuat, individu yang mendakwa pemilik rumah akan menghilangkan diri.

No comments: