Tuesday, November 2, 2021

Banjir: 33 guru, murid, wanita lumpuh diselamatkan bomba

 Oleh NURAINA HANIS ABD. HALIM

 KEADAAN sekolah di Serdang yang dinaiki air ekoran hujan lebat di sekitar kawasan itu petang tadi.

PETALING JAYA: Seramai 33 guru dan murid serta wanita warga emas terperangkap akibat banjir di sekitar Serdang ekoran hujan lebat di sekitar Lembah Klang petang tadi.

Susulan itu, beberapa penduduk, guru serta murid terperangkap dalam kejadian di perumahan di Taman Serdang Raya dan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Serdang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, kejadian pertama melibatkan seorang wanita berusia 58 tahun yang lumpuh serta tinggal bersendirian.

Katanya, pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.17 petang apabila mangsa terperangkap selepas rumahnya dinaiki air kira-kira 1 kaki.

“Seramai sembilan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Serdang dikejarkan ke lokasi bagi memindahkan mangsa ke dewan berhampiran.

“Kejadian kedua melibatkan 32 orang terdiri daripada 18 guru dan 14 murid yang terperangkap di SK Sri Serdang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Norazam, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 7.45 petang berhubung kejadian itu.

Jelas beliau, ketika tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati air naik hingga paras pinggang manakala kesemua mangsa duduk di tingkat dua sekolah berkenaan.

“Kita menggunakan dua buah lori bagi membawa turun kesemua mangsa. Kesemua telah diselamatkan dan diserahkan kepada ibu bapa masing-masing.

“Keadaan banjir telah surut hingga paras lutut. Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 10 malam,” katanya.

No comments: