Thursday, November 25, 2021

68,120 OKU di Johor

Terdapat seramai 68,120 OKU berdaftar di Johor setakat bulan ini. - Foto fail NSTP
Terdapat seramai 68,120 OKU berdaftar di Johor setakat bulan ini. - Foto fail NSTP

ISKANDAR PUTERI: Terdapat seramai 68,120 orang kurang upaya (OKU) berdaftar di Johor setakat bulan ini, mengikut pangkalan data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Zaiton Ismail, berkata Johor merancang untuk mengadakan kempen pendaftaran OKU di negeri ini pada awal tahun depan.

Katanya, ia bagi mengesan dan meningkatkan pendaftaran OKU yang belum berdaftar supaya bantuan dapat disalurkan, selain memperkasakan golongan berkenaan.

"Sehingga November ini terdapat 68,120 orang OKU di Johor membabitkan yang paling tinggi adalah OKU fizikal (24,268 orang), pembelajaran (23,892) dan mental (6,498).

"OKU penglihatan pula seramai 5,450 orang, pendengaran (4,428), pertuturan (373) manakala OKU pelbagai (3,208).

"Kerajaan Johor menerusi JKM Johor sentiasa mengambil berat terhadap golongan kanak-kanak OKU yang juga kumpulan sasaran," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Zaiton Ismail.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan 
Masyarakat Johor, Zaiton Ismail.
 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Zulkurnain Kamisan (BN-Sri Medan) pada Sidang Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di sini, hari ini.

Zulkurnain ingin tahu berapa jumlah terkini golongan OKU di Johor serta perancangan kerajaan negeri membantu golongan berkenaan.

Sementara itu, Zaiton yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang berkata, kerajaan Johor juga akan mempromosikan permohonan pendaftaran OKU secara dalam talian menerusi Program MyDaftar OKU.

Katanya, ia bagi mempermudahkan pendaftaran OKU khususnya bagi ketidakupayaan yang jelas selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan penularan COVID-19.

"Jabatan Pembangunan OKU, JKM Putrajaya dan Johor juga sedang menambah baik Garis Panduan Pengoperasian bagi memantapkan Pengurusan Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).

"Garis panduan ini merangkumi dari segi latihan dan pemulihan yang akan diberikan kepada kanak-kanak OKU yang menjalani pemulihan di PDK.

"Di samping itu, program pemulihan kepada pelatih PDK juga akan dimantapkan melalui Rancangan Pembelajaran Individu (RPI) mengikut norma baharu dan SOP pencegahan dan kawalan penyakit COVID-19," katanya.

No comments: