Ahad, 21 November 2021

560 warga JPJ dijangkiti Covid-19

Oleh ROSLIZA MOHAMED
AMINURRAHIM Mohamed (dua dari kanan) menyampaikan kepada Mek Limoh Ismail di Kampung Karang, Banggu, Kota Bharu, Kelantan. - FOTO/ROSLIZA MOHAMED

KOTA BHARU: Seramai 560 pegawai dan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara dikesan positif Covid-19 sejak Mac tahun lalu, dengan 50 peratus daripada mereka dijangkiti virus itu ketika bertugas.

Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan JPJ, Aminurrahim Mohamed berkata, daripada jumlah itu, 531 kes dilaporkan positif Covid-19 pada tahun ini manakala baki 29 kes tahun lalu.

Menurutnya, rata-rata kakitangan yang positif ketika bertugas dilaporkan dijangkiti virus Covid-19 semasa berurusan dengan pelanggan di kaunter.

“Dalam situasi negara dilanda pandemik Covid-19, pegawai dan anggota sentiasa memberi komitmen menjalankan tugas masing-masing bagi memenuhi keperluan orang awam yang berurusan dengan JPJ.

“Saya berharap pelanggan terutamanya yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19 tidak hadir berurusan dengan kami untuk mengelakkan jangkitan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan Badan Khairat Kematian JPJ Malaysia (Baqa) sebanyak RM10,000 kepada waris bekas Pembantu Tadbir (Pengkeranian/Operasi) di JPJ Putrajaya, Siti Saraf Ismail, 25,.

Siti Saraf meninggal dunia bulan lalu selepas sehari berkahwin dengan pasangannya Mohamad Amirul Akmal Mohd. Aziz, 25, pada 24 Oktober lalu.

Sumbangan itu disampaikan kepada ibu mangsa, Mek Limoh Ismail, 64, dan Mohamad Amirul Akmal Aziz di Kampung Karang, Banggu, di sini hari ini.

Hadir sama, Pemangku Pengarah JPJ Kelantan, Nik Azehan Ab. Hadi.

Mengulas lanjut, Aminurrahim berkata, sehingga kini, sebanyak empat kes kematian dilaporkan melibatkan pegawai dan anggota yang meninggal akibat Covid-19.

Tambahnya, selain itu lebih 99 peratus daripada 8,700 pegawai dan anggota JPJ telah lengkap divaksinasi dan hanya tidak sampai satu peratus atau 73 orang masih belum menerima vaksin. – UTUSAN

Tiada ulasan: