Ahad, 7 November 2021

2,710 kesalahan babitkan penunggang p-hailing dalam Ops Merah

BH ONLINE
Anggota JPJ memeriksa dokumen penunggang motosikal dalam Ops Merah di Puchong Perdana hari ini. - Foto Bernama
Anggota JPJ memeriksa dokumen penunggang motosikal dalam Ops Merah di Puchong Perdana hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan 2,710 kesalahan dilakukan penunggang motosikal khidmat penghantaran (p-hailing) dalam tempoh kira-kira sebulan operasi khas Ops Merah dilaksanakan bermula 8 Oktober hingga semalam.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan, berkata kesalahan paling tinggi membabitkan penunggang p-hailing adalah melanggar isyarat lampu merah dengan 902 kesalahan, diikuti tidak mempunyai lesen memandu (602) dan tiada perlindungan insurans (256).

"Statistik JPJ mendapati 60 peratus kematian dalam kemalangan jalan raya membabitkan penunggang motosikal dan operasi ini menumpukan kepada motosikal yang menjalankan perkhidmatan p-hailing.

"Operasi ini juga sebagai maklum balas terhadap aduan orang ramai berhubung kesalahan dilakukan pemandu dan penunggang motosikal terutama perkhidmatan p-hailing," katanya selepas meninjau Ops Merah di Puchong Perdana, Subang Jaya dekat sini, hari ini.

Lokman berkata, sejak 8 Oktober hingga semalam, sebanyak 88,365 kenderaan diperiksa di seluruh negara menerusi Ops Merah dengan 14,677 notis dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan lalu lintas termasuk tidak mematuhi lampu isyarat, tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans, melawan arus, menggunakan telefon bimbit ketika menunggang dan mengubah suai kenderaan.

Sementara itu, dalam Ops Merah di Puchong Perdana hari ini, sebanyak 1,974 kenderaan diperiksa dengan 584 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas. – BERNAMA

Tiada ulasan: