Khamis, 12 Ogos 2021

Undi percaya pada PM dijadual pada 7 September

MALAYSIAKINI

 Malaysiakini

Undian bagi menguji kepercayaan Dewan Rakyat terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dijadual berlangsung pada 7 Sept ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah.

Katanya perkara itu berdasarkan aturan mesyuarat parlimen.

“Buat masa sekarang, ini tarikhnya, dan notis telah dikeluarkan oleh speaker Dewan Rakyat supaya ia diadakan pada 7 Sept,” kata Saifuddin dalam sidang media maya hari ini.

Muhyiddin Yassin 

Dewan Rakyat dijangka akan bersidang semula pada 6 Sept ini dan seperti biasa hari pertama akan diisi dengan titah diraja oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Bagaimanapun tarikh itu menarik perhatian ramai apabila ada sumber memberitahu, Muhyiddin sedang berdepan gesaan agar sidang parlimen diawalkan, termasuk daripada pihak istana.

Apabila didesak berkenaan isu pandangan Istana Negara yang mahu sidang itu diawalkan, Saifuddin enggan menjawab sama ada ia ada disebut Muhyiddin atau tidak.

Kata ahli parlimen Indera Mahkota itu, dia terikat dengan undang-undang yang melindungi rahsia-rahsia rasmi.

"Saya akan melakukan kesalahan mengikut Akta Rahsia Rasmi jika saya menjawab soalan anda. Malangnya, saya tak boleh menjawab soalan itu," katanya.

Ketika Saifuddin juga enggan mengesahkan bahawa kabinet turut membincangkan isu tarikh sidang yang akan dipercekatkan, dia berkata, dalam politik ada banyak kemungkinan boleh berlaku.

"Ada banyak kemungkinan dalam politik, namun secara rasminya tarikh yang ada ialah pada 7 Sept," katanya.

Tambah Saifuddin lagi usul percaya itu akan dibawa sama ada oleh Muhyiddin sendiri, timbalannya Ismail Sabri Yaakob atau menteri lain yang diarahkan kabinet.

Katanya kabinet juga masih membincangkan bagaimana usul itu akan dikendalikan, termasuk kemungkinan Muhyiddin akan diberi peluang berucap sebelum pengundian dijalankan.

Tiada ulasan: