Pertemuan akan diadakan dalam masa terdekat
JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim akan bertemu dengan Pengarah Pendidikan Johor dan kira-kira 779 guru yang menolak menerima vaksin COVID-19, bagi mencari penyelesaian isu berkenaan.
Menerusi hantaran di Twitter hari ini, Tunku Ismail berkata, pertemuan itu akan diadakan dalam masa terdekat.
“Saya akan berjumpa dengan Pengarah Pendidikan Negeri Johor dan guru-guru tersebut dalam masa terdekat.
“Keutamaan kami adalah untuk mengatasi pandemik ini secepat mungkin supaya rakyat, negeri boleh kembali dan meneruskan kehidupan seperti biasa,” titah baginda.
Kenyataan Tunku Mahkota Johor dibuat apabila seorang netizen berkongsi laporan media berkenaan seramai 779 guru di Johor menolak untuk menerima vaksin COVID-19.
Sebelum ini, Pengerusi Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang memaklumkan mengenai perkara itu ketika menjawab soalan tambahan pada Persidangan Keempat DUN Johor yang ke-14.
Susulan itu, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan membantu memberi penerangan kepada kumpulan guru terbabit mengenai kebaikan vaksin supaya mereka sedia menerima suntikan, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan