PETALING JAYA: Dengan Malaysia ketinggalan dalam satu lagi projek kabel dasar laut, para pemegang taruh berkata, negara kesuntukan masa untuk mengembalikan pengecualian kabotaj bagi mengelakkan terlepas lebih banyak projek infrastruktur digital.
Terdahulu diumumkan kabel dasar laut baharu Apricot, Facebook dan Google, yang bertujuan untuk meningkatkan hubungan serantau, tidak akan melibatkan Malaysia.
Facebook dalam kenyataan berkata, sistem kabel berkenaan, yang dijangka dilancarkan pada 2024 akan menyediakan kapasiti reka bentuk permulaan lebih 190tbps bagi memenuhi permintaan data serantau yang semakin meningkat dan menyokong kabel Echo dan Bifrost akan datang, yang turut tidak akan disambung dengan Malaysia.
Bercakap dengan FMT, Pengerusi Bursa Internet Malaysia (MyIX) Chiew Kok Hin berkata, beberapa faktor menjadikan Malaysia mangsa dalam kes ini.
“Yang utama adalah isu kabotaj, tetapi begitu juga ketidakstabilan politik semasa,” katanya.
“Kita akan kehilangan kabel selagi keputusan tidak dibuat untuk mengembalikan pengecualian (kabotaj), dan itu tidak sejajar dengan rangka tindakan MyDigital.”
Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, kehilangan satu lagi projek infrastruktur utama adalah “perkara yang menyedihkan buat Malaysia”, sambil menambah, ini menjadi bayangan negara akan terlepas peluang lain pada masa hadapan.
“Sayang sekali kita kehilangan pendaratan kabel seperti itu yang akan memberi impak besar kepada ekonomi dan pekerjaan disebabkan pengekalan dasar kabotaj ini.
“Ini benar-benar menjadi tanda tentang apa yang akan datang,” katanya.
Rais berkata, langkah menghapuskan halangan bagi kapal menjalankan kerja-kerja pembaikan, iaitu tujuan sebenar pengecualian kabotaj, adalah langkah yang “logik”.
Peletakan jawatan Jemaah Menteri menjadikan masa depan isu kabotaj ini lebih kelam. Jemaah Menteri sepatutnya membincangkan dasar kabotaj pada April dan membuat keputusan muktamad mengenai hala tuju negara mengenainya, namun hasil perbincangan berkenaan tidak pernah didedahkan.
“Saya telah menulis surat kepada menteri yang bertanggungjawab untuk membuat keputusan dan juga perdana menteri minggu lalu, tetapi tidak mendapat sebarang balasan,” kata Rais.
“Kini Jemaah Menteri tidak lagi berfungsi, saya cuma harap sesiapa yang seterusnya menjadi menteri akan faham bahawa ini adalah isu kritikal bagi negara, terutamanya untuk menarik pelaburan berteknologi tinggi dan bernilai tinggi.
Chiew berkata, negara kini kesuntukan masa kerana kabel ini tidak dibina dengan kerap.
“Kabel-kabel bawah laut berkapasiti tinggi dan pelaburannya bernilai sekitar USD300-USD400 juta,” katanya, sambil menambah, “kita tidak boleh berharap banyak kabel akan dibina di rantau ini.”
“Kita sudah ketinggalan tiga (Echo, Bifrost dan Apricot). Jika kita hilang dua atau tiga lagi, kita akan ketinggalan sepenuhnya.
“Jika kita tidak dapat menarik lebih banyak (projek) kabel dasar laut yang lebih baik, pusat data tidak akan berkembang dan pada masa itu pelaburan apakah yang dapat kita tarik? Adakah syarikat seperti TikTok akan datang ke sini?
“Ada kesan riak terhadap keseluruhan ekonomi,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan