Rabu, 4 Ogos 2021

Tiada kehadiran VIP di rumah Muhyiddin pagi ini

Suasana di simpang masuk ke kediaman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara tenang tanpa pergerakan kenderaan orang kenamaan pagi ini. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Suasana di simpang masuk ke kediaman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara tenang tanpa pergerakan kenderaan orang kenamaan pagi ini. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Tiada kenderaan dipercayai membawa orang kenamaan (VIP) dan ahli politik masuk kawasan kediaman Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, di sini, setakat jam 8 pagi ini.

Terdahulu, sebuah kereta polis memasuki kawasan kediaman Perdana Menteri pada jam 7.15 pagi sebelum keluar lima minit kemudian, manakala sebuah van polis masuk jam 7.53 pagi dan keluar seminit kemudian.

Hujan ketika ini tidak menghalang sekumpulan petugas media daripada pelbagai agensi yang berkumpul sejak jam 7 pagi untuk terus membuat liputan di kawasan perumahan Muhyiddin susulan kemelut politik negara.

Semalam, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara membuat ketetapan parti itu menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah dan tidak akan mempertahankan kerajaan PN yang didakwa gagal di mata rakyat selaras Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

Rentetan itu, perjumpaan sebahagian menteri kanan Kabinet dan pegawai tertinggi kerajaan diadakan di kediaman Perdana Menteri, selama empat jam berakhir jam 12.10 tengah malam tadi.

Antara dilihat hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Tiada ulasan: