Isnin, 23 Ogos 2021

Teliti projek hospital ‘sakit’ di Bera, PM diberitahu

Bekas menteri kesihatan S Subramaniam melawat projek Hospital Bera yang 
terbengkalai pada 2017. Projek itu masih belum disiapkan sehingga hari ini. 
(Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob digesa meneliti projek hospital yang ‘sakit’ dan terbengkalai di Bera sejak enam tahun lalu.

Ahli DAP, Chong Eng berkata, pembinaan hospital bernilai RM88 juta itu bermula pada 2012 dan sepatutnya diselesaikan pada 2015, tetapi tertangguh kerana “kegagalan kontraktor.”

Setakat dua tahun lalu, ia turut dilaporkan 90% lengkap pembinaan, namun Ketua Wanita Pakatan Harapan itu berkata, ia masih belum selesai sepenuhnya walaupun kontraktor diberi lanjutan untuk menyelesaikannya pada 2020.

Chong berkata, Ketua Audit Negara telah memberi amaran mengenai projek hospital itu dalam laporan tahunannya pada 2016 dengan memetik kontraktor yang “tidak layak” sebagai antara punca ia masih tidak disiapkan.

“Sudah tiba masanya PM memberi keutamaan untuk memeriksa projek itu. Sebarang penangguhan lanjut tidak patut dibiarkan berlaku kerana kawasan Parlimen beliau di Bera tiada hospital daerah. Penduduk Bera terpaksa membuat perjalanan 45km ke Temerloh untuk mendapatkan rawatan.

“Saya berharap penduduk Bera akan dapat menikmati manfaat mempunyai perdana menteri dari kawasan mereka dengan hospital baharu, terutama dalam keadaan wabak Covid-19 kini,” katanya dalam kenyataan.

Memetik laporan berita, Chong berkata, setakat Disember 2016, hospital itu telah siap 57%. Laporan Bernama pada 2019 pula mengatakan ia telah siap 90%.

Kontraktor hospital itu ditamatkan perkhidmatan pada Disember 2016 kerana gagal menyiapkan projek mengikut spesifikasi dan waktunya. Kerja-kerja pembinaan turut terjejas akibat banjir pada 2014, seorang exco Pahang dipetik berkata kepada Berita Harian empat tahun lalu.

Ketua Audit Negara pada 2016 mendedahkan satu daripada tujuh kontraktor yang “tidak layak” itu dilantik menjalankan projek berkenaan atas saranan Kementerian Kewangan, walaupun Jabatan Kerja Raya membantah terhadap semua nama dicadangkan dan menggesa tender terbuka dibuat.

Hospital Bera sepatutnya dapat menyediakan perkhidmatan untuk 92,000 penduduk di daerah itu, selain meredakan kesesakan di Hospital Temerloh. Pemeriksaan di laman web Kementerian Kerja Raya menunjukkan tender telah dibuka untuk kerja pembinaan dan berkaitan bagi Hospital Bera, November lalu.

Tiada ulasan: