Henti buat keputusan yang ancam keselamatan semua
BANGI– Culas dan tidak bertanggungjawab sekiranya membenarkan murid kembali bersekolah dalam keadaan kes jangkitan COVID-19 masih tinggi.
Apatah lagi, pemberian vaksinasi kepada ratusan ribu guru masih belum menyeluruh dan program imunisasi terhadap remaja berumur 12 hingga 18 tahun juga belum dilaksanakan.
Atas sebab itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mempertimbangkan semula pembukaan sesi persekolahan pada 1 September ini.
Ini kerana, negeri seperti Selangor terus merekodkan jumlah kes yang sangat tinggi melebihi 6,000 sehari secara konsisten.
Manakala, Kedah, Pulau Pinang, Johor dan Kelantan juga mencatatkan jumlah kes harian yang semakin meningkat dengan mendadak, kata Mohamad.
“Jika keputusan pembukaan sekolah secara menyeluruh dan secara serentak ini dilaksanakan juga, maka ia secara langsung akan meletakkan sistem kesihatan kita pada tahap kelumpuhan yang serius.
“Justeru, berhentilah daripada membuat segala keputusan yang akhirnya mengancam kesihatan dan keselamatan pelajar, guru-guru, keluarga serta masyarakat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, Mohamad berkata, bagi kawasan dan negeri berisiko rendah serta mempunyai kadar vaksinasi yang tinggi – seperti Perlis, Sarawak dan Labuan – pembukaan sekolah secara berperingkat boleh dipertimbangkan.
“Bagi negeri lain, pembelajaran secara maya mesti diteruskan dan ditambah nilai buat waktu ini.
“Keputusan Kementerian mesti disesuaikan dengan data dan kedudukan jangkitan serta vaksinasi. Pendekatan ‘one size fits all’ dalam keadaan yang sangat luar biasa seperti sekarang mesti dihentikan,” katanya.
KPM dalam kenyataan 17 Julai lalu, memaklumkan sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 September ini, manakala pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) diteruskan sehingga 31 Ogos.
Keputusan itu selepas mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 serta hasil perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan