Khamis, 5 Ogos 2021

Syed Saddiq mengaku tidak bersalah dua tuduhan ubah wang haram

Syed Saddiq, 29, yang juga Ahli Parlimen Muar, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kedua-dua pertuduhan itu, Syed Saddiq didakwa melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling di sini pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Dia didakwa melakukan kesalahan terbabit mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613], yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Sabit setiap kesalahan, bagi dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib dan Mohd 'Afif Ali, manakala Syed Saddiq diwakili peguam bela, Gobind Singh Deo.

Susulan pengakuan tidak bersalah oleh tertuduh, mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan disekalikan dengan jaminan bagi dua pertuduhan yang diputuskan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum ini.

Mahkamah juga membenarkan dua pertuduhan hari ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibaca bersama dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum ini, pada 10 September depan.

Tiada ulasan: