Ahad, 8 Ogos 2021

SOP aktiviti sosial akan dilonggarkan kepada penerima vaksin lengkap mulai 10 Ogos

MALAYSIA NOW

'Dine-in' di restoran, perjalanan rentas daerah dibenarkan kepada penerima vaksin lengkap di negeri-negeri Fasa 2 PPN.

Prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti sosial akan dilonggarkan bagi mereka yang telah menerima vaksin lengkap bermula 10 Ogos sebagai sebahagian daripada langkah melonggarkan SOP kesihatan dalam negara mengikut fasa yang ditetapkan, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Dalam perutusan khas hari ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata kemudahan kuarantin dan perjalanan akan diberikan kepada individu yang telah menerima vaksin lengkap di seluruh negara dan terpakai ke atas semua fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Antara lain, pasangan berkahwin akan dibenarkan melakukan perjalanan rentas negeri dan daerah untuk bertemu pasangan.

Selain itu, ibu bapa yang menerima vaksin lengkap akan dibenarkan rentas negeri untuk menemui anak yang berumur 18 tahun ke bawah.

Kemudahan lain yang dibenarkan kepada mereka yang menerima vaksin lengkap adalah solat berjamaah di masjid bagi penganut Islam dan berkunjung ke rumah ibadat bagi penganut agama lain dengan mengikut SOP ditetapkan.

Menurut Muhyiddin, pelaksanaan kemudahan ini adalah tertakluk kepada pihak berkuasa agama negeri dan kementerian perpaduan negara bagi rumah ibadat selain Islam.

Dalam pada itu, bagi negeri-negeri yang kini berada di Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara, kemudahan sektor sosial akan dibenarkan.

Antara lain, penerima vaksin di negeri-negeri tersebut akan dibenarkan merentas daerah, “dine-in” di premis restoran dan aktiviti sukan tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan.

Aktiviti yang dibenarkan adalah seperti joging, senaman, taichi, berbasikal, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis (perseorangan), badminton (perseorangan), golf, permotoran dan seumpamanya.

“Kemudahan-kemudahan ini bukanlah bermakna kita boleh mengabaikan SOP-SOP yang telah ditetapkan.

“Kemudahan dine-in dan aktiviti sukan terutamanya, adalah lebih berisiko bagi seseorang individu itu dijangkiti virus Covid-19.

“Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk menarik semula kemudahan-kemudahan yang telah diberikan sekiranya berlakunya ketidakpatuhan terhadap garis panduan serta SOP-SOP yang telah ditetapkan,” tambahnya.

Terdahulu, Menteri Penyelaras PPN Tengku Zafrul Aziz berkaa kes bergejala serius akan dijadikan indikator baru untuk peralihan Pelan Pemulihan Negara (PPN) ke Fasa Dua dan Tiga.

Bagaimanapun, indikator kadar vaksinasi serta kadar penggunaan unit rawatan rapi (ICU) masih dikekalkan.

“Setelah mencapai kadar vaksinasi 40% penduduk dewasa dan ke atas, bilangan kes baharu Covid-19 menjadi kurang relevan kerana kebanyakan kes adalah kes yang tidak bergejala atau bergejala ringan (Kategori 1 dan 2), sekali gus mengurangkan beban terhadap infrastruktur kesihatan awam,” katanya.

Perlis, Labuan dan beberapa kawasan di Sarawak kini sudah beralih ke Fasa Tiga PPN.

Kelantan, Pahang, Terengganu, Sabah, Perak dan Pulau Pinang pula telah diletakkan di Fasa Dua PPN.

Sementara Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Selangor, Kuala Lumpur and Putrajaya masih kekal di Fasa Satu.

Tiada ulasan: