Rabu, 11 Ogos 2021

Saksi kejadian gaduh di Balakong dicari

Oleh NURAINA HANIS ABD. HALIM
TANGKAP layar video pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki dipercayai menggunakan besi di Balakong.

PETALING JAYA: Polis sedang mengesan sekumpulan lelaki yang terlibat dalam pergaduhan dipercayai menggunakan senjata di Balakong, di sini sehingga tular dalam laman sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya mengesan sebuah video berdurasi satu minit 32 saat yang memaparkan sekumpulan lelaki menggunakan senjata dipercayai besi sedang bergaduh.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku di kawasan perumahan di Flat Sri Timah, Balakong.

“Justeru, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian terbabit diminta tampil melaporkannya kepada polis.

“Motif kejadian ini masih dalam siasatan dan suspek sedang dikesan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Mohd. Zaid, kes disiasat di bawah Seksyen 148 dan 269 Kanun Keseksaan.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau hubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Norhafiza Borhan di talian 03-8911 4222,” ujarnya.

Terdahulu tular video menunjukkan sekumpulan lelaki yang ada antaranya memegang senjata bergaduh di kawasan tempat meletak kenderaan di sebuah flat.

Turut berlaku kekecohan melibatkan individu-individu itu yang dirakam penghuni di kawasan berdekatan.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: