Kenyataan Media

Mohd Azmi berkata, sekali lagi rakyat terpaksa menunggu wakil mereka menentukan nasib negara ini. - Astro AWANI/Shahir Omar
1.
SETELAH beredar episod Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh Jemaah
Kabinet PN berundur diri, kini rakyat menunggu pula wakil rakyat yang
dipilih ke Parlimen membuat pilihan siapa akan menerajui kerajaan
sebagai Perdana Menteri.
2. Dari
satu sisi memang memilih calon Perdana Menteri dilihat satu lagi
pertarungan politik yang melelahkan. Akan tetapi memang negara
memerlukan seorang nakhoda paling layak untuk melayari
bahtera negara
ini. Tanpa PM yang layak, berpengelaman, berwibawa dan berintegriti
tinggi, sudah tentu negara ini akan hanyut dan sesat di lautan tidak
bertepi dan akan hancur dipukul badai.
3.
Soalnya bagaimana setiap Ahli Parlimen akan membuat pilihan melalui
Surat Akuan yang akan menentukan calon PM yang akan menguasai majoriti.
4. Nampaknya sekali lagi rakyat terpaksa menunggu wakil mereka menentukan nasib negara ini.
5.
Bermakna sekarang setiap 220 wakil rakyat itu perlu membuat pilihan
dengan rasa sanubari dan gerak hati yang sepatutnya melangkaui parti dan
kepentingan diri.
6. Kriteria memilih
wakil rakyat untuk calon PM itulah yang sepatutnya menjadi timbang tara
yang diguna oleh mereka. Kriteria pemimpin yang berjiwa rakyat pada kata
dan amalan itulah yang sepatutnya dipilih.
7.
Memilih dengan akal budi yang jernih atas prinsip dan agenda berkhidmat
membela rakyat, bukan atas ketaasuban dan kepentingan peribadi.
Mengukur calon yang sepatutnya menjadi PM untuk negara bukan untuk
kelompok elit dan ahli politik penting diri ini.
8.
Lantaran rakyat kini dalam keadaan sangat perit dan meruncing, sudah
tentu budaya politik lama iaitu saling mengadu-domba dan politik penting
habuan mesti ditolak.
9. Rakyat akur
kerajaan baharu perlu ditubuh dan seorang Perdana Menteri perlu dipilih.
Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa berdasar Perlembagaan untuk
melantik Perdana Menteri.
10. Di saat ini
wakil rakyat diuji sejauh mana mereka mendahulu dan mengutamakan ciri
kepimpinan yang benar-benar berkualiti. Memilih seorang Perdana Menteri
yang boleh membawa visi segar memandu negara keluar dari kemelut
meruncing yang sedang dialami sekarang.
11.
Rakyat mendambakan seorang Perdana Menteri yang merasai degup nadi dan
ratap tangis rakyat dan yang sanggup berkorban sehingga suara rakyat
tetap diutamakan.
12. Rakyat tidak mahu
pemimpin yang mengguna kuasa untuk memenuhi tembolok mereka yang rakus
dengan kekayaan dan hidup mewah, berada ditampuk kekuasaan elitis.
13.
Kami menolak wakil rakyat yang menjual diri untuk habuan jawatan dan
kekayaan bila menawar undinya untuk menyokong seorang calon PM.
14. Cukuplah politik kotor dan khianat serta politik mengadai maruah yang selama ini sinonim dengan politik negara ini .
15.
Rakyat tidak dapat menyertai dalam memilih calon Perdana Menteri.
Tetapi rakyat akan membuat keputusan calon mana yang akan ditolak atau
diterima di PRU nanti. ASTRO AWANI
Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden MAPIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan